Categories
AGENSI SELANGOR

Pemadam Selangor serah bantuan kepada bekas penagih

SHAH ALAM, 12 MEI: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor menyerahkan sumbangan makanan asas kepada 1,300 orang kena pengawasan (OKP) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), hari ini.

Penyerahan disempurnakan Dato’ Menteri Besar yang juga Penaung Pemadam Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tahunan itu bertujuan memastikan OKP dapat meraikan Syawal seperti insan lain.

“Kita tak mahu mereka rasa tersisih dan rasakan masyarakat memandang serong selepas keluar dari pusat pemulihan.

“Ini antara usaha Pemadam memastikan OKS dipilih dapat merasai hidup dalam komuniti dan bermasyarakat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kasih Ramadan hari ini.

Sumbangan barangan seperti beras, biskut, kopi dan gula itu diserahkan melalui wakil setiap daerah.

Selain OKP, sumbangan sama turut diserahkan kepada asnaf dan fakir miskin yang dipilih AADK.