Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar pasca siswazah dibenar mula aktiviti akademik

SHAH ALAM, 17 MEI: Pelajar pasca siswazah mod penyelidikan seperti pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dibenarkan untuk memulakan aktiviti akademik dengan segera, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata perkara itu diluluskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

“Kebenaran ini membabitkan 31,503 pelajar di 462 institusi pengajian tinggi (IPT) yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk kerana memerlukan peralatan khusus.

“Jadi kita kira tidak ramai yang terpaksa balik ke kampus untuk lakukan penyelidikan untuk Sarjana dan PhD mereka,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismai Sabri berkata kerajaan membenarkan rakyat yang memiliki status penduduk tetap (PR) negara luar untuk pulang ke negara berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun katanya individu terbabit tidak dibenarkan pulang semula ke Malaysia selagi PKPB belum berakhir.

“Rakyat kita yang ada PR luar negara jika mahu pulang ke negara pemberi PR, kita benarkan tetapi kita tidak benarkan mereka balik semula sehingga tamat PKPB.

“Maknanya, ia perjalanan sehala mereka, tidak boleh balik sehingga PKPB tamat. Itu prosedurnya,” katanya.