Categories
AGENDA NASIONAL

Biasiswa Yang di-Pertuan Agong boleh dimohon mulai hari ini

PUTRAJAYA, 15 MAC: Permohonan bagi Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2021 untuk peringkat sarjana dan doktor falsafah (PhD) dalam dan luar negara dibuka mulai 5 petang ini.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataan hari ini berkata permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang secara dalam talian melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my.

Menurut JPA, tarikh akhir bagi mengemukakan borang permohonan yang lengkap berserta dokumen sokongan secara serahan tangan atau pos adalah pada 9 April ini.

“BYDPA menawarkan sebanyak 12 biasiswa iaitu enam di peringkat sarjana dan enam di peringkat PhD untuk calon mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia dalam bidang Sains dan Teknologi, Ekonomi, Undang-Undang dan Kewangan Islam,” katanya.

JPA berkata keutamaan diberikan kepada calon yang mendapat keputusan akademik amat cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) sekurang-kurangnya 3.75 atau kelas pertama atau setaraf dengannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda atau Sarjana.

JPA berkata keutamaan juga diberikan kepada calon yang aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan kokurikulum, mahir dalam lebih satu bahasa antarabangsa, atau menghasilkan kerja kreatif dan inovatif seperti penulisan dan reka cipta.

Katanya, calon yang mendapat tawaran pengajian secara sepenuh masa atau telah memulakan pengajian secara sepenuh masa pada tahun penajaan di institusi pengajian tinggi yang disenaraikan JPA mengikut bidang pengajian turut diberi keutamaan.

Syarat kelayakan lain ialah warganegara Malaysia dan berumur tidak lebih 35 tahun pada 1 Jan 2021.

“Calon yang memenuhi syarat permohonan serta melepasi saringan lanjut akan disenarai pendek untuk menghadiri temu duga,” katanya.

JPA berkata pengajian peringkat sarjana adalah secara mod penyelidikan sahaja yang mewajibkan penyediaan kertas penyelidikan atau disertasi atau tesis.

Maklumat lanjut mengenai penawaran itu boleh didapati melalui portal http://esilav2.jpa.gov.my atau hubungi talian 03–8885 3879/3569 pada setiap hari bekerja mulai jam 9 pagi hingga 5 petang atau e-mel kepada [email protected].

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar pasca siswazah dibenar mula aktiviti akademik

SHAH ALAM, 17 MEI: Pelajar pasca siswazah mod penyelidikan seperti pengajian Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dibenarkan untuk memulakan aktiviti akademik dengan segera, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan (kluster keselamatan) berkata perkara itu diluluskan hasil Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.

“Kebenaran ini membabitkan 31,503 pelajar di 462 institusi pengajian tinggi (IPT) yang perlu melakukan penyelidikan secara fizikal di makmal, bengkel dan studio reka bentuk kerana memerlukan peralatan khusus.

“Jadi kita kira tidak ramai yang terpaksa balik ke kampus untuk lakukan penyelidikan untuk Sarjana dan PhD mereka,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Dalam perkembangan lain, Ismai Sabri berkata kerajaan membenarkan rakyat yang memiliki status penduduk tetap (PR) negara luar untuk pulang ke negara berkenaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun katanya individu terbabit tidak dibenarkan pulang semula ke Malaysia selagi PKPB belum berakhir.

“Rakyat kita yang ada PR luar negara jika mahu pulang ke negara pemberi PR, kita benarkan tetapi kita tidak benarkan mereka balik semula sehingga tamat PKPB.

“Maknanya, ia perjalanan sehala mereka, tidak boleh balik sehingga PKPB tamat. Itu prosedurnya,” katanya.