Categories
AGENSI SELANGOR

Pemadam Selangor serah bantuan kepada bekas penagih

SHAH ALAM, 12 MEI: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor menyerahkan sumbangan makanan asas kepada 1,300 orang kena pengawasan (OKP) Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), hari ini.

Penyerahan disempurnakan Dato’ Menteri Besar yang juga Penaung Pemadam Selangor.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program tahunan itu bertujuan memastikan OKP dapat meraikan Syawal seperti insan lain.

“Kita tak mahu mereka rasa tersisih dan rasakan masyarakat memandang serong selepas keluar dari pusat pemulihan.

“Ini antara usaha Pemadam memastikan OKS dipilih dapat merasai hidup dalam komuniti dan bermasyarakat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sumbangan Kasih Ramadan hari ini.

Sumbangan barangan seperti beras, biskut, kopi dan gula itu diserahkan melalui wakil setiap daerah.

Selain OKP, sumbangan sama turut diserahkan kepada asnaf dan fakir miskin yang dipilih AADK.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

PEMADAM serius tangani lokasi tumpuan penagihan dadah

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA SELANGOR, 10 JULAI: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Selangor mengenal pasti 15 kawasan tumpuan di negeri ini yang dipercayai menjadi lokasi penagihan dadah dalam kalangan remaja.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kebanyakan lokasi tumpuan membabitkan kawasan miskin bandar kerana dipengaruhi budaya setempat dan penagihan berulang.

“Selain itu, kita dapati masalah penagihan baharu terdiri daripada remaja sekolah berumur dari 12 hingga 15 tahun. Ini memang fakta yang kita ada.

“Walaupun belum banyak tetapi saya takut hal ini merebak dan kita mulakan (aktiviti kesedaran) dari semasa ke semasa.

“Saya tahu ini bukan kerja satu tahun tetapi kita kena lawan dengan pendekatan sedikit berbeza,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Sayangi Generasiku PEMADAM peringkat Kuala Selangor 2019 di Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Selangor.

Amirudin berkata, kewujudan penagih baharu dalam kalangan remaja dibimbangi akan mendorong mereka melakukan perkara luar batasan seperti membunuh.

Katanya, lebih membimbangkan budaya penagihan dadah itu dilihat sudah menular di peringkat sekolah rendah berbanding sekolah menengah dan universiti sebelum ini.

“Lebih membimbangkan, perkembangan teknologi semasa digunakan dalam proses pembuatan dadah sintetik yang lebih memberikan kesan serius berbanding sebelum ini.

“Masalah (dadah) ini mula merebak bukan hanya sekolah menengah, mutakhir di sekolah rendah, yang merupakan satu cabaran kepada institusi pendidikan dan pembentukan modal insan.

“Masa depan kita akan hilang dan musnah termasuk semua yang digagaskan datuk serta nenek kita dahulu jika kita tidak bersama menangani dan berdepan masalah dadah yang semakin hari semakin mencabar,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor komited banteras aktiviti salah guna dadah

OLEH NORHAYATI UMOR

SERDANG, 23 FEB: Kerajaan Negeri terus komited membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah melalui kerjasama pelbagai pihak seperti Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dadah adalah ancaman besar kepada negara dan penyalahgunaannya semakin menular membabitkan pelbagai lapisan masyarakat merentasi umur, jantina, taraf pendidikan dan sosio ekonomi.

“Justeru, pendekatan secara holistik dan inklusif perlu ditekankan dalam mempergiatkan pembabitan komuniti serta kolaborasi pelbagai pihak untuk membentuk komuniti yang aktif juga berdaya huni bagi mewujudkan kualiti persekitaran setempat yang aman selain selamat.

“Melalui projek perintis, PEMADAM menubuhkan kelab terdiri daripada belia untuk menjadi penggerak kepada komuniti menangani isu berkenaan, termasuk penubuhan kelab di institusi pengajian tinggi, sekolah, komuniti dan lokaliti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bulan Antidadah Kebangsaan, di Universiti Putra Malaysia, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Amirudin yang juga Penaung dan Pengerusi PEMADAM Selangor berkata, sebanyak 15 kawasan di negeri itu direkodkan sebagai ‘hotspot’ penyalahgunaan dadah.

Katanya, ia membabitkan Sungai Besar, Rawang, Selayang, Gombak, Pandan Indah, Hulu Kelang, Bandar Ampang, Kajang, Semenyih, Bangi, Batu 9 Cheras, Serdang, Pandamaran, Bandar Klang dan Petaling Jaya Selatan.

“Satu kawasan Petaling Jaya Selatan dari 15 kawasan terbabit berjaya diturunkan dari klasifikasi kawasan berisiko tinggi kepada kawasan berisiko atas usaha AADK bersama rakan strategik dan rakan pintar, sejak 2016.

“Malah, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM 1 Juta melalui Belanjawan 2019 untuk menangani isu terbabit,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha menjadikan kesemua 15 kawasan itu sebagai kawasan selamat, strategi pemberdayaan komuniti dilihat penting untuk memberikan pengetahuan dan kefahaman berkenaan bahaya dadah selain kesedaran kepada komuniti.

Untuk rekod, jumlah penyalahgunaan dan penagih dadah, di Selangor adalah seramai 14,556, iaitu keempat tertinggi di Malaysia.

Bagaimanapun, jumlah itu jika dibandingkan dengan jumlah penduduk di Selangor secara rationya adalah 0.23 peratus, menjadikan negeri itu berada pada kedudukan ke-13, di Malaysia.

“Namun, saya tidaklah memandang remeh isu dan masalah penyalahgunaan dadah di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bantu PEMADAM Hulu Selangor laksana program cegah dadah

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 8 OKT: Sokongan Kerajaan Negeri serta semua pihak di Selangor, bakal memudahkan gerakan pencegahan penyalahgunaan dadah di daerah Hulu Selangor, kata Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Beliau yang juga Pegawai Daerah Hulu Selangor berkata, sokongan dan kerjasama berterusan amat penting kepada pihaknya bagi menjayakan setiap program dirancang dalam menangani masalah berkenaan.

“Dengan sokongan Kerajaan Negeri kepada PEMADAM khususnya PEMADAM Hulu Selangor akan dapat mengekalkan momentum selaras dengan hasrat mencegah penyalahgunaan dadah di daerah ini,” katanya dalam majlis Kejohanan Golf Amal anjuran PEMADAM Hulu Selangor di Tasik Puteri Golf & Country Resort, di sini, semalam.

Beliau berkata, kejohanan golf diadakan itu adalah salah satu program diadakan bagi tujuan berkaitan dan kali pertama dijayakan PEMADAM Hulu Selangor.

“Terima kasih kepada semua atas kerjasama diberikan bagi menjayakan kejohanan yang julung kali diadakan ini.

“Kehadiran Dato’ Menteri Besar untuk bersama menyertainya amat dihargai dan satu pengiktirafan kepada PEMADAM Hulu Selangor,” katanya.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Omar dan ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong.

Categories
SELANGOR

MB: PEMADAM Selangor proaktif bantu polis cegah salah guna dadah

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 8 OKT: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) di Selangor diminta memainkan peranan aktif membantu polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menangani isu penyalahgunaan dadah di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, masalah penyalahgunaan dadah perlu ditangani dengan lebih berkesan dengan pembabitan PEMADAM secara lebih menyeluruh bagi membantu pihak berkuasa.

“Ia isu berterusan dihadapi sejak sekian lama yang sukar diatasi hingga saat ini dengan perkembangannya semakin kompleks iaitu ada antara bahan dadah menyerupai minuman sedia ada.

“Kita tidak boleh lagi hanya mengharapkan pihak berkuasa khasnya polis dan AADK menjalankan tindakan maka PEMADAM harus menjalankan tanggungjawab secara lebih meluas termasuk mendekati golongan sasaran,” katanya dalam majlis Kejohanan Golf Amal anjuran PEMADAM Hulu Selangor di Tasik Puteri Golf & Country Resort, di sini, semalam.

Amirudin yang juga Pengerusi PEMADAM Selangor berkata, pihaknya berusaha melaksanakan program tertentu antaranya konsert bersama Ella, gathering motosikal dan sesi pertemuan bersama kumpulan sasaran untuk membantu pihak berkuasa mengatasi perkara berkenaan, walaupun dengan peruntukan terhad.

“Kita perlu tangani perkara ini kerana jika kita membiarkannya ia akan membarah dan mengagalkan segala usaha dirancang Kerajaan Negeri menjadikan negeri ini sebagai Smart Selangor.

“Ia harus diatasi bermula dari rumah dan PEMADAM memainkan peranannya,” katanya.

Berhubung kejohanan itu, beliau berkata, selain bertujuan mengumpul dana untuk menjalankan pelbagai program dan aktiviti pencegahan dadah di daerah ini, ia dapat merapatkan hubungan antara ketua jabatan dan jabatan di Selangor.

“Ia momentum perlu dikekalkan kerana Selangor sebagai negeri termaju dengan pencapaian baik sering menjadi tumpuan ramai dan kerjasama semua jabatan akan menentukan hala tuju digariskan Kerajaan Negeri dapat digerakkan,” katanya.

Turut hadir, Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari; Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali, Harumaini Haji Omar; ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong dan Pengerusi PEMADAM Hulu Selangor, Mohd Fauzi Mohd Yatim.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : Beri Peluang Bekas Penagih Kembali Kepada Masyarakat

Rodziah Mic Kuning 01

SHAH ALAM 29 DIS : Kerajaan Negeri menyeru semua pihak agar tidak meminggirkan bekas-bekas penagih dadah atau mereka yang bergelar Orang Kena Pengawasan (OKP).

Exco Kebajikan, Rodziah Ismail berkata, golongan tersebut perlu diberi perhatian sewajarnya agar mereka dapat membina jati diri untuk kembali bermasyarakat dan tidak ketinggalan dalam era pembangunan negeri mahupun negara.

Beliau menyampaikan amanat tersebut sewaktu ucapan perasmiannya di Seminar Pemantapan Sahsiah Diri Bekas Pengguna Dadah yang diadakan di Wisma PKPS di sini pagi tadi.

“Kerajaan Negeri sentiasa berusaha agar semua pihak mendapat tempat dalam masyarakat, tanpa mendiskriminasikan golongan tertentu sekalipun golongan OKP.

“Mereka ini wajar diberikan peluang untuk membuktikan bahawa diri mereka sudah berubah dan bersedia untuk menyahut cabaran bersaing seperti orang lain dalam sektor pekerjaan dan sebagainya.

“Inilah cabaran paling besar golongan ini tetapi kita yakin, dengan adanya keazaman dan kerjasama semua pihak, perkara ini pasti dapat diatasi,” tegas Rodziah yang juga merupakan Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor.

Seminar tersebut merupakan sebuah program motivasi anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dengan Pemadam, Pengasih dan pertubuhan Budi.

Dalam pada itu, Pengerusi Bahagian Pemulihan Al-Riqas MAIS, Hafizatul Akmal Abd Jalil berkata pihaknya akan menambah peruntukan bantuan kepada golongan OKP pada tahun hadapan.

“Program bantuan sudah dimulakan Mac tahun ini dan sehingga kini kita telah peruntukan dana melebihi RM1 juta bagi membantu golongan ini dalam pelbagai bentuk dan kaedah.

“Antara lain kita memberi bantuan kewangan dan sara hidup kepada yang layak, bantuan pusat-pusat pemulihan selain turut membantu mereka mendapatkan peluang pekerjaan,” jelas Hafizatul lag.

Selain Rodziah dan Hafizatul, turut hadir ialah Pengerusi Pengasih Selangor, Che Pei Omar, Setiausaha Kehormat Pemadam Selangor, Norfazli Ismail serta Adun Meru yang juga merupakan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr. Abdul Rani Osman.

Seminar satu hari itu mensasarkan penyertaan 300 golongan OKP daripada semua daerah di Selangor dan terbuka kepada semua kaum.