Categories
AGENDA EKONOMI

Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur

KUALA LUMPUR, 23 JUN: Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur hari ini berikutan aktiviti jualan sederhana membabitkan saham-saham wajaran tinggi terpilih walaupun pasaran serantau mencatat sentimen yang positif.

Pada 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 2.46 mata kepada 1,508.78 daripada 1,511.24 sewaktu ditutup pada Isnin.

Indeks utama itu dibuka susut 0.09 mata kepada 1.511.15.

Di pasaran meluas, kaunter untung mengatasi rugi iaitu 283 berbanding 147 manakala 274 kaunter lain tidak berubah, 1,228 tidak didagangkan dan 19 lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 727.65 juta unit bernilai RM246.34 juta.

Dalam pada itu, Malacca Securities menerusi nota penyelidikannya menjangkakan indeks petunjuk utama itu menyaksikan dagangan dalam jajaran kecil hari ini sepertimana dua sesi sebelumnya susulan kebimbangan membabitkan penularan Covid-19.

Namun, peningkatan Wall Street berserta harga minyak mentah yang lebih tinggi berkemungkinan besar terus memacu sokongan terhadap indeks utama untuk mencatat kenaikan yang sederhana.

“Kami beranggapan sektor minyak dan gas akan terus meningkat seiring dengan kenaikan minyak mentah (pada masa ini minyak mentah Brent yang juga penanda aras global didagangkan pada harga hampir US$43 setong) yang didorong oleh permintaan bagi jangka masa panjang.

“Kami juga melihat paras psikologi pada 1,500 dan kenaikan sekitar 1,550 pada masa ini. Sebarang penurunan pula adalah sekitar 1,490 dan disusuli paras 1,460,” katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan TNB masing-masing naik dua sen kepada RM7.68 dan RM11.80, Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM6.28 manakala Public Bank turun 18 sen kepada RM16.60 dan IHH Healthcare rugi sembilan sen kepada RM5.43.

Bagi saham paling aktif, Iris Corp untung satu sen kepada 18.5 sen, Radiant Globaltech naik 2.5 sen kepada 36.5 sen, Anzo menambah setengah sen kepada 12.5 sen manakala MQ Technology tidak berubah pada 6.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 5.05 mata kepada 10,610.92, Indeks FBMT 100 susut 8.59 mata kepada 10,458.64 namun FBM 70 naik 22.95 mata kepada 12,962.11.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri naik 0.39 mata kepada 135.19, Indeks Kewangan susut 23.83 mata kepada 12,990.39 manakala Indeks Perladangan meraih 11.67 mata kepada 6,758.41.

-BERNAMA