Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tukang gunting rambut positif, 40 kontak rapat dikenal pasti

SHAH ALAM, 12 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti seramai 40 kontak rapat kepada seorang tukang gunting rambut warganegara Pakistan yang disahkan positif Covid-19 di Setapak, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua kontak rapat sudah disaring dan diarah menjalani kuarantin di rumah manakala lelaki terbabit sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

“Hasil siasatan awal, kedai gunting rambut tersebut tidak beroperasi sejak bermula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu namun beliau terus memberi perkhidmatan dari rumah ke rumah atas permintaan pelanggan di kawasan sekitar.

“Terdapat 25 kontak rapat dikenalpasti dengan rekod panggilan telefon iaitu empat rakan serumahnya dan 21 pelanggan manakala selebihnya mendapat perkhidmatan sehingga semalam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata lebih 2,000 tukang gunting rambut warga asing di negara ini perlu menjalani saringan terlebih dahulu sebelum kembali bekerja.

“Kita telah kaji hal ini…kebimbangan KKM ialah warga asing dan kalau lihat pada data setiap hari, kes positif melibatkan warganegara sudah kurang.

“Namun, warga asing perlu dilihat dengan teliti iaitu salah satu syarat untuk mereka mula bekerja perlu jalani ujian Covid-19,” katanya.