Categories
AGENDA NASIONAL

Ibadah korban dibenarkan, tertakluk jabatan agama negeri

SHAH ALAM, 24 JUN: Ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha hujung Julai ini dibenarkan dan tertakluk kepada jabatan agama negeri masing-masing, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Yaakob berkata bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur aktiviti itu boleh diadakan di masjid, surau atau kawasan dibenarkan pihak berkuasa agama.

“Selain itu, sebanyak 28 rumah sembelihan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) termasuk 31 rumah sembelihan ruminan swasta yang dilesenkan JPV turut dibenarkan untuk penyembelihan.

“Kita mengesyorkan aktiviti sembelihan dibuat di pusat sembelihan bagi memudahkan kawalan daripada segi penjarakan sosial,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah menyediakan tatacara operasi piawai (SOP) lengkap serta bersesuaian bagi ibadat tersebut dan negeri lain boleh menggunakan garis panduan itu sebagai rujukan jika kebenaran sama diberikan.

“Penganjur perlu melaporkan aktiviti ibadah korban kepada pejabat kesihatan daerah terdekat selain memastikan jemaah sihat dan tidak bergejala serta tidak membenarkan kanak-kanak bawah 12 tahun hadir.

“Kapasiti kehadiran petugas tidak boleh melebihi 30 orang bagi menguruskan seekor lembu dan bilangan korban perlu bersesuaian dengan keupayaan jumlah petugas dilantik,” katanya.