SHAH ALAM, 15 OGOS: Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap tawaran menjadikan ketua pembangkang setara menteri kanan satu penghinaan ketika rakyat bergelut mendepani pandemik.
Mengakui terkejut dengan tawaran itu, beliau berkata tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak sensitif apatah lagi dalam keadaan ekonomi negara yang semakin meleset.
“Saya tidak langsung terfikir ini sebagai munasabah, takkanlah ini boleh dibuat…satu penghinaan orang nak dapat tambahan RM50 ke RM100 sebulan nak cari nafkah untuk anak isteri.
“Sekarang kamu pelawa pula ketua pembangkang tambahan RM40,000 ke RM50,000 dengan segala status. Itu salah, sebab itu saya tegas menolak. Saya kaget dan terkejut sedikit,” katanya dalam siaran langsung di Facebook malam ini.
Anwar berkata pelawaan besar itu timbul setelah perdana menteri menyedari pentadbirannya hampir ‘tenggelam’ akibat hilang sokongan majoriti ahli parlimen.
“Ahli parlimen penting kita dapat peruntukan tetapi nyawa rakyat lagi penting. Rakyat tiada pekerjaan, terpaksa mengemis minta pertolongan itu lebih penting dan wajar dipertimbangkan,” katanya.
Dalam perutusan khas yang disiar secara langsung semalam, Muhyiddin mengakui sebahagian sekutu kerajaan Perikatan Nasional menarik balik sokongan setelah 15 wakil rakyat Umno menolak kepemimpinannya.
Dalam nada terdesak, beliau turut mencadangkan tujuh langkah bagi mencapai “rangka persefahaman rentas parti” yang akan dilaksanakan oleh kerajaan PN jika usul undi percaya terhadapnya diluluskan dalam masa terdekat.