Categories
PENDAPAT RENCANA

Ketagihan beli-belah dalam talian

oleh NAZLI IBRAHIM & MUNIRAH AHAMAD

Lama sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan susulan penularan Covid-19 di negara ini, kadar pertumbuhan pasaran perniagaan dalam talian di Malaysia dikenal pasti paling pesat di rantau Asia Tenggara.

Dapatan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) pada 2017 menunjukkan tujuh peratus pengguna di negara ini membuat pembelian hampir setiap hari, seminggu sekali (26 peratus), sebulan sekali (54 peratus) dan setahun sekali (13 peratus).

Mengikut Wee Huay Neo, pengarah e-dagang MDEC, menerusi The Sun Daily, Malaysia juga paling ramai bilangan pengguna dalam talian iaitu mencecah 67 peratus, mengatasi Thailand (57 peratus) dan Singapura (52 peratus).

Maka, tidak hairanlah Joint Asean Network 10, sebuah rangkaian dalam aspek penggunaan teknologi, menjangka penjualan dalam talian Malaysia mencapai dua digit dalam masa terdekat. Pada masa ini, ia masih pada paras dua peratus daripada keseluruhan jualan di negara ini.

Berdasarkan data yang dikemas kini Januari lalu, pengguna e-dagang di negara ini melonjak kepada 21.9 juta, antaranya didorong faktor kadar penembusan internet yang mencecah 87.5 peratus manakala penggunaan telefon pintar penduduknya mencapai 70 peratus.

Tahap perbelanjaan

Kegilaan masyarakat membeli-belah dalam talian dapat dilihat melalui acara sehari berasaskan tanggal kembar – 11.11 (November) dan 12.12 (Disember). Mengikut analisis iPrice15, pengguna Malaysia berbelanja RM277 pada waktu itu, mengatasi jualan hari biasa iaitu RM130. Laporan Astro Awani menyatakan pengguna secara purata berbelanja RM310 pada acara 12.12 pada 2017, meningkat 300 peratus berbanding 11.11 pada tahun sebelumnya.

Namun, sedar atau tidak, sebanyak 40 peratus pembelian e-dagang yang dilakukan bersifat rentas sempadan, yakni membeli produk di luar negara. Ini didorong faktor harga yang lebih murah, tiada dalam pasaran tempatan, penemuan produk baharu dan kualitinya lebih diyakini. Berdasarkan The International Trade Administration (ITA), produk daripada China, Singapura, Jepun, Amerika Syarikat dan Korea Selatan antara pilihan utama.

Justeru, pelaksanaan PKP sejak 18 Mac lalu, disusuli sambutan Aidilfitri dan menjelangnya hari raya Aidiladha, tentunya angka statistik pembelian dalam talian yang sedia kala tinggi terus melonjak. Berdasarkan kenyataan Pengurus Kanan Pick Up & Delivery Pos Malaysia, Mohd Azilah A Rahim ketika PKP baru sebulan dilaksanakan, penggunaan perkhidmatan Pos Laju meningkat 35 peratus.

“Kami menerima sehingga 770,000 bungkusan sehari dan jumlah ini meningkat melebihi kapasiti biasa Pos Laju iaitu 350,000 bungkusan sehari,” katanya dipetik daripada Harian Metro.

Penipuan berleluasa

Pun begitu, di sebalik ketagihan beli-belah dalam talian popular di negara ini, masalah penipuan tidak selesai-selesai. Kaji selidik Joint Asean Network 10 menunjukkan sembilan peratus pengguna tidak menerima barangan yang ditempah manakala 23 peratus pula menerima produk berlainan dari yang diiklan.

Ini berikutan pengguna mudah dimanipulasi dengan foto yang diiklan-kan, hanya indah khabar dari rupa. Ini mudah berlaku lantaran pengguna tidak berpeluang memeriksa secara fizikal terhadap produk yang diidami.

Masalah saiz juga boleh menimbulkan masalah kerana piawaian ukuran tidak selari dengan kelaziman di negara ini. Kasut contohnya, banyak menggunakan ukuran amalan di United Kingdom dan Amerika Syarikat. Pada masa sama, slogan ‘jaminan wang dikembalikan’ tidak semudah yang dibayangkan.

Bagi produk kecantikan dan kesihatan pula, pengguna berisiko tertipu dengan promosi dan testimoni palsu. Bahkan ada produk tiada kelulusan Kementerian Kesihatan, sekali gus membahayakan kesihatan pengguna.