Categories
AGENDA NASIONAL

Majlis akad nikah dibenarkan tidak lebih 250 tetamu

SHAH ALAM, 29 JUN: Kebenaran majlis dengan jumlah tetamu tidak lebih 250 orang pada satu-satu masa turut terpakai untuk akad nikah, kata menteri kanan (kluster keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata terdapat kekeliruan berhubung perkara itu dan ada menganggap majlis pernikahan masih kekal dengan tatacara operasi piawai (SOP) lama iaitu jumlah had tetamu 20 orang.

“Pengumuman kebenaran untuk majlis perkahwinan dan bertunang sebenarnya turut terpakai untuk akad nikah dan turut terpakai di majlis jamuan perkahwinan di rumah ibadat dan persatuan agama bukan Islam,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Khamis lalu, Ismail Sabri mengumumkan kebenaran untuk semua majlis sosial seperti perkahwinan, pertunangan, akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun perkahwinan dan hari jadi bermula Rabu ini dengan had masa antara tiga hingga lima jam.