Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PKPB: Boleh rentas negeri untuk bernikah – menteri kanan

SHAH ALAM, 2 JUN: Bakal pengantin dibenar merentas negeri untuk menghadiri majlis akad nikah dengan memohon kebenaran polis, kata menteri kanan (keselamatan).

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan memberi kebenaran tersebut untuk memudahkan urusan perkahwinan pasangan pengantin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Rupanya ramai yang mahu bernikah sewaktu PKPB yang memerlukan bakal pengantin merentas negeri kerana pasangan di negeri lain.

“Jadi mesyuarat hari ini menyedari keperluan bakal pengantin dan kerajaan bersetuju membenarkan rentas negeri bagi urusan akad nikah dan mereka boleh memohon kebenaran polis,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata majlis akad nikah perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan tidak melebihi 20 orang.

Selain itu, beliau berkata mesyuarat juga memutuskan untuk membenarkan jurufoto perkahwinan melakukan penggambaran praperkahwinan di tempat terbuka mengikut SOP.