Categories
AGENDA NASIONAL

Cabang Ampang harus pastikan kerusi kekal di tangan KEADILAN

AMPANG, 19 JULAI: Cabang KEADILAN Ampang perlu mempertahankan mandat rakyat sejak tiga Pilihan Raya Umum (PRU) lalu biarpun kehilangan dua wakil rakyat termasuk ahli parlimennya.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata usaha membubarkan cabang itu susulan episod pengkhianatan oleh wakil rakyat berkenaan tidak berjaya selepas mengadakan sesi penerangan kepada anggota parti dan pemimpin akar umbi.

Katanya ramai ahli parti itu kekal setia walaupun ada usaha daripada pemimpin berpengaruh di Selangor beralih arah dengan mengkhianati dan menjatuhkan kerajaan sendiri seterusnya menubuhkan kerajaan baru bersama kleptokrat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Selangor Bersama Wanita Ampng di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah pada 19 Julai 2020. Foto ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar

“Namun, tiada satu cabang pun di Selangor yang terbubar daripada episod pengkhianatan ini sebaliknya kekal dipertahankan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Selangor Bersama Wanita Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah di sini hari ini.

Beliau berkata parti itu perlu bekerja kuat memastikan kekal dan terus relevan bagi membawa suara rakyat yang mahu perubahan dalam pilihan raya.

“Kita (KEADILAN) nyawa kepada Reformasi perjuangan. Kalau ada mana-mana kelompok yang cuba untuk ‘copy paste’ atau membawa agenda Reformasi, semuanya tidak akan kekal lama malah akan dimakan sejarah.

“Justeru, saya yakin sebesar manapun pemimpin itu, sejarah merekodkan 20 tahun perjuangan kita yang melalui pahit getir akhirnya parti ini kekal wadah terbaik untuk bawa agenda Reformasi sekali gus membuat perubahan kepada Malaysia,” katanya.