Categories
AGENDA NASIONAL

Cabang Ampang harus pastikan kerusi kekal di tangan KEADILAN

AMPANG, 19 JULAI: Cabang KEADILAN Ampang perlu mempertahankan mandat rakyat sejak tiga Pilihan Raya Umum (PRU) lalu biarpun kehilangan dua wakil rakyat termasuk ahli parlimennya.

Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Selangor berkata usaha membubarkan cabang itu susulan episod pengkhianatan oleh wakil rakyat berkenaan tidak berjaya selepas mengadakan sesi penerangan kepada anggota parti dan pemimpin akar umbi.

Katanya ramai ahli parti itu kekal setia walaupun ada usaha daripada pemimpin berpengaruh di Selangor beralih arah dengan mengkhianati dan menjatuhkan kerajaan sendiri seterusnya menubuhkan kerajaan baru bersama kleptokrat.

Dato’ Seri Amirudin Shari berucap pada Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Selangor Bersama Wanita Ampng di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah pada 19 Julai 2020. Foto ihsan Pejabat Dato’ Menteri Besar

“Namun, tiada satu cabang pun di Selangor yang terbubar daripada episod pengkhianatan ini sebaliknya kekal dipertahankan,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari pada Majlis Apresiasi Wanita KEADILAN Selangor Bersama Wanita Ampang di Dewan MPAJ Kampung Ampang Indah di sini hari ini.

Beliau berkata parti itu perlu bekerja kuat memastikan kekal dan terus relevan bagi membawa suara rakyat yang mahu perubahan dalam pilihan raya.

“Kita (KEADILAN) nyawa kepada Reformasi perjuangan. Kalau ada mana-mana kelompok yang cuba untuk ‘copy paste’ atau membawa agenda Reformasi, semuanya tidak akan kekal lama malah akan dimakan sejarah.

“Justeru, saya yakin sebesar manapun pemimpin itu, sejarah merekodkan 20 tahun perjuangan kita yang melalui pahit getir akhirnya parti ini kekal wadah terbaik untuk bawa agenda Reformasi sekali gus membuat perubahan kepada Malaysia,” katanya.

Categories
SELANGOR

AMK dan Wanita Perlu Proaktif Dalam Persempadanan Pilihan Raya

kongres PKR 1

PETALING JAYA 24 MEI : Angkatan Muda dan Wanita PKR perlu proaktif untuk memulakan usaha berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk mengesyorkan kewajaran persempadanan baru kawasan pilihan raya.

“Justeru saya mencadangkan supaya Angkatan Muda dan Wanita supaya proaktif untuk memulakan usaha berbincang dengan pihak yang mempunyai kepakaran untuk mengesyorkan kewajaran persempadanan baru berasaskan etika demokrasi sebagai cadangan balas terhadap syor-syor persempadanan semula oleh SPR pada hujung tahun ini,” kata Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Selain itu, Azmin mencadangkan sebuah suruhanjaya bebas yang telus dan professional perlu dibentuk untuk meneliti urusan persempadanan bahagian pilihan raya dilaksanakan dengan adil.

Katanya, peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sewajarnya lebih tertumpu kepada urusan pengendalian pilihan raya dan tidak dibebankan dengan tanggungjawab untuk mengemukakan syor persempadanan baru itu.

Ia tegas Azmin jika berlaku akan menjejaskan kredibiliti dan kebebasan SPR.

“Ketempangan sistem pilihan raya di Malaysia juga berpunca daripada ‘gerrymandering’ yang didalangi Umno.

kongres PKR 2

“Persempadanan bahagian pilihan raya dibuat secara tidak adil dan tidak memenuhi prinsip sistem demokrasi berperwakilan,” kata Azmin.

Beliau berkata demikian dalam Ucapan Perasmian Kongres Nasional PKR bagi Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita yang bertajuk ‘Laksana Satu Nyawa’  berlangsung di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Jelas Azmin, sistem ‘Boundary Commission for England’ ini diwujudkan bagi mengemukakan syor sempadan baru bagi kawasan pilihan raya dalam tempoh setiap 5 tahun.

“Ia mesti berasaskan etika demokrasi sebagai cadangan balas terhadap syor persempadanan semula oleh SPR pada hujung tahun ini,” ujar Azmin.