Categories
EXCO SELANGOR

Elak tempat sesak, bersentuhan ketika Aidiladha – EXCO

SHAH ALAM, 28 JULAI: Orang ramai dinasihat tidak mengunjungi dan membawa kanak-kanak ke tempat sesak ketika sambutan Aidiladha bagi mengelak penularan Covid-19.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) juga penting ketika berkumpul bersama keluarga dengan mengelak sentuhan di muka dan tangan.

“Elakkan tempat sesak, saya risau ibu bapa sudah mula bawa anak ke pusat membeli belah. Orang tua (lebih) lagi perlu dijaga.

“Beringat dan berwaspada pulang. Elakkan berpeluk cium di kawasan muka walaupun pakai pelitup muka,” katanya pada majlis Pelancaran dan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Selangor 2020 di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Beliau berkata pemakaian pelitup muka ketika berinteraksi juga penting sebagai langkah keselamatan dan menjadi tanggungjawab semua untuk mematuhi SOP ditetapkan.

Tambahnya, sikap alpa segelintir pihak mencetuskan kebimbangan kerana gelombang wabak yang lebih besar boleh menyerang bila-bila masa.

Majlis Keselamatan Negara sebelum ini membenarkan pergerakan rentas daerah dan negeri sempena Aidiladha selain mengetatkan beberapa garis panduan aktiviti korban.

Bagaimanapun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dilaksanakan semula sekiranya kes baharu Covid-19 kembali meningkat kepada tiga angka.