Categories
EXCO SELANGOR

Covid-19: B40 bertambah di Selangor akibat ekonomi lembab

SUBANG JAYA, 11 OGOS: Jumlah rakyat berpendapatan rendah (B40) di negeri ini meningkat disebabkan kelembapan ekonomi kesan penularan Covid-19, kata EXCO kerajaan prihatin.

V Ganabatirau berkata ramai individu hilang kerja dan pendapatan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bagaimanapun Kerajaan Selangor sentiasa berjaga-jaga, dalam masa sama mencari peluang bantu rakyat dapatkan pekerjaan.

“Kerajaan Selangor akan rancang pelbagai lagi inisiatif untuk basmi kemiskinan negeri ini terutama golongan miskin bandar yang dilihat lebih susah berbanding luar bandar,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Pusat Aktiviti Komuniti Berdaya (PAKB) Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) hari ini.

Ganabatirau berkata antara langkah Kerajaan Negeri adalah menguatkuasakan undang-undang lesen perniagaan kepada warga asing.

“Kita tidak benarkan mereka berniaga. Hanya mahu rakyat tempatan memonopoli perniagaan. Ini peluang mereka menjana pendapatan selepas kehilangan kerja,” katanya.

Pada 15 Julai lalu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan RM413.9 juta diperuntukkan menerusi pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin bagi menangani impak penularan pandemik itu di negeri ini.