Categories
ADN SELANGOR

1,000 bakul makanan diagih santuni keluarga susah di Balakong

SHAH ALAM, 3 JAN: Sebanyak 1,000 pek bakul makanan diedarkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) sekitar Balakong mulai 1 Januari.

Wakil rakyatnya Wong Siew Ki berkata bantuan itu bagi menggantikan program sambutan perayaan Tahun Baharu Cina yang dibatalkan susulan Covid-19 dan banjir.

“Kita berikan sumbangan ini bagi menghormati individu yang terkesan bukan sahaja dengan pandemik Covid-19 tetapi bencana banjir baru-baru ini.

“Kita harap pemberian ini sedikit sebanyak meringankan beban penerima sekali gus meraikan perayaan secara bersederhana,” katanya ketika dihubungi.

Antara makanan diagihkan ialah beras, gula, garam, kopi, susu pekat, sardin, kuih raya, kalendar, pelitup muka dan angpau.

Siew Ki berkata individu yang memerlukan bantuan boleh tampil ke Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong atau hubungi 03-9076 0331.

Categories
AGENSI SELANGOR

Permohonan bantuan LZS kepada B40 dilanjut hingga 20 Disember

SHAH ALAM, 15 DIS: Permohonan bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) kepada golongan berpendapatan rendah (B40) yang hilang kerja dan terjejas pendapatan akibat Covid-19 dilanjut hingga 20 Disember.

Agensi berkata bantuan sekali bayar (one-off) itu dibuka kepada individu yang pertama kali ingin memohon dan juga untuk permohonan rayuan.

“Kami mengambil cakna dan prihatin pada mereka yang terlepas untuk memohon pada tempoh yang lalu.

“Suka untuk kami ingatkan kembali, bahawa permohonan ini adalah secara ‘one-off’ (sekali bayar) dan hanya terbuka kepada individu yang memenuhi syarat kelayakan,” katanya di Facebook.

LZS sebelum ini memaklumkan permohonan menerusi http://www.zakatselangor.com.my yang dijangka memanfaatkan 15,000 keluarga ditutup pada 10 Disember.

Katanya, pemohon ZSP mestilah warganegara, menetap di negeri ini sekurang-kurangnya tiga tahun dan tidak berdaftar dalam senarai asnaf bawah agensi itu.

Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bawah ZSP yang menyediakan 19 inisiatif bantuan dan memanfaatkan 59,322 penerima serta 431 institusi di Selangor.

Categories
AGENSI SELANGOR

B40 hilang kerja boleh mohon bantuan LZS hingga esok

SHAH ALAM, 9 DIS: Permohonan bantuan Zakat Selangor Peduli (ZSP) buat golongan berpendapatan rendah (B40) yang hilang kerja dan terjejas pendapatan akibat Covid-19 dibuka hingga esok.

Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata pemohon mestilah warganegara, menetap di negeri ini sekurang-kurangnya tiga tahun dan tidak berdaftar dalam senarai asnaf bawah agensi itu.

“Permohonan ditutup pada 10 Disember. Mohon sekarang di laman web rasmi LZS www.zakatselangor.com.my,” katanya di Facebook.

Bantuan sekali bayar yang boleh dimohon sejak 23 November dijangka memanfaatkan 15,000 keluarga.

Julai lalu, LZS mengumumkan peruntukan RM69.3 juta bawah ZSP yang menyediakan 19 inisiatif bantuan dan memanfaatkan 59,322 penerima serta 431 institusi di Selangor.

Selain bantuan kepada B40, seramai 7,000 pelajar asnaf fakir, miskin dan mualaf yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerima sumbangan tablet berserta data internet.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air Selangor agih lebih 1,000 kotak makanan asas kepada B40

SHAH ALAM, 8 NOV: Sebanyak 1,084 kotak bantuan makanan asas dihulurkan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) sepanjang tahun ini.

Air Selangor memaklumkan kotak bantuan yang dinamakan ‘Box of Hope’ itu mengandungi tepung, beras, susu dan minyak dihulurkan kepada mereka yang berada di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Bantuan yang dilaksana ini adalah di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Sesama Mara yang bertujuan untuk membantu komuniti yang memerlukan,”katanya di Facebook.

Dalam pada itu, Air Selangor mengajak orang ramai yang berminat untuk turut sama membantu boleh menyerahkan sumbangan di lima lokasi Village Grocer iaitu di Tamarind Square Cyberjaya, MyTown Cheras, 1 Mont Kiara, I-City Mall Shah Alam dan Melawati Mall.

“Anda juga boleh membuat sumbangan melalui akaun bank CIMB Bank Berhad 80-0798511-8 dengan menyertakan nota catatan Bantuan Inisiatif ‘Box of Hope’.

“Menerusi platform akaun bank ini, orang ramai boleh terus membuat sumbangan tanpa perlu ke cawangan Village Grocer. Kami akan membeli barangan makanan asas dengan hasil sumbangan wang untuk didermakan kepada golongan B40 yang memerlukan,” katanya.

Pada 13 September, Air Selangor menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan ‘Box of Hope’ dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Agihan baucar Jom Shopping Deepavali buat B40 hampir selesai

KLANG, 2 NOV: Hampir semua masyarakat India memerlukan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima baucar beli-belah Jom Shopping RM100 sempena Deepavali.

Dato’ Menteri Besar berkata setiap DUN menerima antara 400 hingga 600 baucar bagi membantu golongan berkenaan membeli barang keperluan di pasar raya terpilih.

Dato’ Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif yang diperkenal sejak 2010 dibuat setiap tahun termasuk ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina.

“Sekarang (agihan) sedang berjalan dan difahamkan hampir selesai dengan DUN Sentosa merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu lebih 600 orang,” katanya selepas meninjau Little India Klang di sini hari ini.

Beliau berkata cadangan menggantikan baucar beli-belah kepada wang tunai akan dipertimbang dalam Belanjawan Selangor yang dibentangkan pada 26 November ini.

“Itu semua mungkin boleh dipertimbang dalam belanjawan nanti. Saya ada masa untuk melihat secara menyeluruh bagaimana bantuan dan sokongan yang ingin disampaikan,” katanya.

Jom Shopping Raya diperkenalkan Kerajaan Negeri dengan menyasarkan golongan berpendapatan rendah (B40) sebagai inisiatif jangka panjang bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Serahan bantuan dibuat mengikut komponen utama kaum dan perayaan masing-masing.

Categories
AGENDA NASIONAL

Bajet 2022: Keluarga B40 dapat bantuan RM2,000 sekali bayar

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak RM2,000 akan disalurkan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40) dengan isi rumah tiga orang anak atau lebih menerusi Bajet 2022.

Inisiatif sekali bayar khusus buat golongan berpendapatan RM2,500 sebulan dan ke bawah memanfaatkan kira-kira 9.6 juta penerima, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Jelasnya, bantuan RM500 juga diberikan kepada ibu atau bapa tunggal yang mempunyai tanggungan dan berpendapatan bulanan sehingga RM5,000.

Turut diberikan ialah RM300 bantuan tambahan kepada isi rumah warga emas.

Bertema Bajet 2022: Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera, belanjawan kedua bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) memperuntuk RM332.1 bilion, terbesar dalam sejarah.

Categories
PBT SELANGOR

MBSJ bantu hampir 30,000 keluarga susah sepanjang pandemik

SUBANG JAYA, 20 OKT: Seramai 28,457 keluarga berpendapatan rendah (B40) menerima makanan dan keperluan harian sumbangan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) sejak 2019.

Inisiatif dengan peruntukan lebih RM400,000 turut diperluas kepada golongan yang hilang mata pencarian akibat pandemik Covid-19 awal tahun lalu, kata Datuk Bandarnya.

“Majoriti penerima dari keluarga B40 selain kakitangan MBSJ yang berdepan masalah. Kita jangka bilangan penerima meningkat setiap bulan dan pastikan mereka disantuni,” kata Noraini Roslan.

Berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Pertama MBSJ di sini hari ini, beliau berkata pihaknya mewujudkan tabung amal sejak 2019 bagi membantu kumpulan memerlukan.

Tabung yang mengumpul sebanyak RM147,986.35 hasil kutipan derma daripada kakitangan menumpukan aspek pendidikan, infrastruktur dan pembangunan modal insan, jelasnya.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM90,716.20 digunakan bagi membiayai yuran pengajian dan pembelian komputer riba untuk pelajar dari keluarga kurang mampu.

“Kita mahu mereka berupaya dari aspek sosial, ekonomi, kesihatan, keselamatan dan pendidikan bersesuaian dengan cabaran ketika ini,” kata Noraini lagi.

Categories
SELANGOR

Laksana program padanan kerja, bantu golongan hilang pendapatan

AMPANG, 16 SEPT: Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya akan mengadakan program padanan kerja bagi membantu individu hilang pendapatan akibat Covid-19.

Penyelarasnya Daing Muhammad Reduan Bachok berkata pihaknya sedang mengatur pertemuan dengan beberapa syarikat yang bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada golongan terjejas

“Soal pekerjaan sangat penting ketika ini memandangkan Selangor telah beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mana rakyat perlu meneruskan kelangsungan hidup dengan bekerja dan mencari pendapatan.

“Apabila bekerja, kadar kebergantungan mereka terhadap kerajaan berkurang. Jadi, kita cuba aturkan dengan beberapa syarikat misalnya pasar raya untuk menawarkan pekerjaaan,” katanya kepada Selangorkini.

Ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dataran Santai Ampang Point hari ini, Daing berkata inisiatif padanan kerja akan menyasarkan semua peringkat usia dan golongan yang diberhentikan.

“Kita tahu ramai terkesan bukan sahaja golongan berpendapatan rendah (B40) tetapi berpendapatan sederhana (M40) yang sebelum ini memiliki pendapatan yang stabil.

“Memang banyak platform pencarian kerja dalam laman sesawang tetapi kita berusaha untuk bantu selagi boleh, dari situ kita akan lihat dan nilai supaya mereka boleh dapat kerja,” katanya.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Air Selangor hulur makanan asas, baiki sistem paip keluarga B40

SHAH ALAM, 13 SEPT: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menghulurkan bantuan makanan asas dan menanggung kos baik pulih paip rumah kebajikan serta keluarga berpendapatan rendah (B40) di Lembah Klang.

Agensi berkata sumbangan “Box of Hope” dan khidmat pembaikan paip kepada 262 individu dan keluarga B40 itu bersempena ulang tahun keduanya beroperasi sebagai pemegang lesen tunggal pembekalan air di negeri ini, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Sempena ulang tahun yang kedua ini, Air Selangor terus berbakti kepada masyarakat dengan
memperkasakan aktiviti komuniti khususnya dalam meringankan beban golongan yang memerlukan di sekitar Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

“Dengan tema ‘Berkongsi Kegembiraan Bersama’, kami melaksanakan beberapa aktiviti bersama komuniti di
bawah program Sesama Mara, khususnya untuk golongan B40 yang amat memerlukan dalam tempoh pandemik Covid-19,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah agensi bantuan makanan asas melibatkan 222 individu dan keluarga di Kampung Ampang Indah, Taman Mulia Jaya, Persiaran Ampang Saujana serta Kampung Lembah Jaya Selatan.

Manakala inisiatif Perkhidmatan Pembaikan Paip untuk Golongan Kurang Berkemampuan melibatkan rumah kebajikan serta keluarga B40 sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Inisiatif ini merupakan antara usaha kami dalam memberikan kegembiraan kepada para pengguna, selain menerusi bekalan air bersih dan selamat yang dibekalkan kepada mereka,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

20 peratus golongan menengah beralih ke B40 akibat pandemik

KUALA LUMPUR, 6 OGOS: Sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 dan RM10,959 beralih kepada kumpulan B40 akibat kesan pandemik Covid-19, menurut Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata laporan itu mendedahkan isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 didapati turut terkesan apabila 12.8 peratus isi rumah daripada kumpulan itu beralih kepada kumpulan M40.

“Memandangkan peratus penurunan pendapatan bagi isi rumah B40 dan M40 adalah lebih besar berbanding kumpulan isi rumah T20, maka agihan pendapatan bagi B40 dan M40 masing-masing menurun kepada 15.9 peratus (2019: 16.0 peratus) dan 36.9 peratus (2019: 37.2 peratus).

“Sementara itu, kumpulan T20 memiliki 47.2 peratus pendapatan, meningkat sebanyak 0.4 mata peratus berbanding 2019,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Laporan tersebut memuatkan dapatan kajian kesan Covid-19 ke atas pendapatan isi rumah serta statistik insiden kemiskinan di Malaysia tahun lepas.

Menurut laporan itu, Mohd Uzir berkata pendapatan purata isi rumah turut mencatatkan penurunan 10.3 peratus iaitu RM7,089 berbanding RM7,901 pada 2019.

Beliau menjelaskan faktor penurunan tersebut disebabkan isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan, terutamanya mereka yang berstatus pekerja dan bekerja sendiri.

“Tambahan pula, pengurangan pendapatan ini bukan sahaja akibat daripada kehilangan pekerjaan malah turut disumbangkan oleh pengurangan jam bekerja dan peningkatan guna tenaga tidak penuh berkaitan dengan kemahiran,” katanya.

Ketua Perangkawan turut menambah, berdasarkan kajian tersebut, dianggarkan bilangan isi rumah miskin meningkat kepada 639.8 ribu isi rumah, berbanding 405.4 ribu isi rumah pada 2019, dengan Sabah mencatatkan peratusan tertinggi bagi insiden kemiskinan mutlak iaitu 25.3 peratus (2019: 19.5 peratus).

Secara keseluruhan, beliau berkata penularan pandemik Covid-19 memberi impak luar jangka kepada pendapatan isi rumah dan mengubah struktur kumpulan isi rumah, bagaimanapun, keadaan ekonomi dijangka bertambah baik dan pulih apabila penularan pandemik ini dapat diatasi.

Katanya, berdasarkan analisis itu, peranan Kerajaan Persekutuan dan negeri serta pelbagai pihak adalah penting dalam mengurangkan kesan pandemik, ke arah memulihkan pendapatan isi rumah dan ekonomi negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Zakat Selangor sumbang 7,000 tablet, subsidi internet kepada pelajar

SHAH ALAM, 7 JULAI: Seramai 7,000 pelajar asnaf, fakir dan miskin dijangka menerima bantuan peranti mudah alih sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Ogos.

Ketua pegawai eksekutifnya, Saipolyazan M Yusop berkata inisiatif tersebut disertakan subsidi bulanan internet berjumlah RM30 selama sembilan bulan, bagi memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Keutamaan bantuan ini khusus untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia pada awal tahun depan

“Namun sumbangan juga diberikan kepada golongan pelajar lain yang memerlukan, semoga usaha ini memudahkan proses pembelajaran secara maya anak-anak kita,” katanya menerusi temu bual secara maya bersama Media Selangor.

Pada 2 Julai, LZS mengumumkan agihan zakat sebanyak RM69.3 juta menerusi 19 inisiatif bagi membantu golongan terkesan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 59,322 penerima dan 431 institusi yang akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga Disember tahun ini.

Empat agenda bersasar dilaksanakan untuk memenuhi keperluan asnaf, fakir, miskin dan mualaf, meringankan beban golongan rentan, menyokong pemulihan institusi agama di Selangor serta menyokong keperluan asas barisan hadapan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LZS peruntuk lebih RM10 juta bantu golongan B40 terkesan PKP

SHAH ALAM, 2 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) memperuntuk RM10.5 juta bagi membantu individu terkesan akibat Covid-19 terutama golongan berpendapatan rendah (B40).

Ketua pegawai eksekutif berkata bantuan tersebut dijangka memberi manfaat kepada 15,000 penerima yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan.

“Peruntukan ini inisiatif tambahan di bawah Zakat Selangor Peduli susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Selain itu antara syarat kelayakan pemohon bukan asnaf fakir, miskin dan mualaf yang berdaftar dengan LZS,” kata Saipolyazan M Yusop menerusi kenyataan.

Beliau menambah permohonan bagi bantuan sebanyak RM500 secara sekali bayar (one-off) dibuka bermula hari ini tertakluk kepada syarat dan kelayakan.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman sesawang http://www.zakatselangor.com.my.