Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Labohan Dagang mampu hasil 200 juta liter air menjelang 2022

KUALA LANGAT, 28 OGOS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangka Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa 1 mampu menghasilkan 200 juta liter air sehari (JLH) menjelang 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata setakat ini operasi LRA berkenaan hanya menghasilkan 50 JLH disebabkan kerja pemasangan peralatan belum selesai sepenuhnya.

“Dengan kapasiti sedia ada ia mampu menampung penggunaan hampir 30,000 akaun pengguna di Kuala Langat. Kita masih menyediakan paip-paip utama dan kerja-kerja berkenaan dijangka selesai pada 2022.

“Untuk makluman, LRA Labohan Dagang ini menggunakan teknologi baharu iaitu mengekstrak air dari hilir sungai (down stream).

“Sebelum ini teknologi pada tahun 80-an adalah ekstrak air dari bahagian atas (up stream) dekat dengan empangan yang mana air masih lagi bersih dan dirawat seperti di LRA Semenyih 1,” katanya selepas lawatan ke LRA itu di Banting.

Beliau menjelaskan teknologi ekstrak sumber air dari hilir sungai turut diguna pakai di LRA Labu dan Semenyih 2.

Suhaimi memaklumkan LRA Labohan Dagang merupakan loji pertama di Kuala Langat yang mana pengguna sebelum ini bergantung kepada LRA Sungai Selangor dan Bukit Tampoi.

Loji berkenaan mula dibina pada 2017 dan mula beroperasi pada 18 Disember 2019 dengan kos bernilai RM370 juta.