Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Labohan Dagang fasa kedua dijangka bermula 2026

KUALA LANGAT, 29 OGOS: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang fasa kedua dijangka bermula pada 2026 selepas LRA Rasau di Puchong siap sepenuhnya pada 2025.

Ketua pegawai eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) berkata pembinaan fasa kedua dijangka mampu menghasilkan 400 juta liter air sehari (JLH) kepada pengguna dan industri di sini.

“(Pembinaan) LRA kedua adalah LRA Rasau di Puchong yang kita jangka mula pada penghujung tahun hadapan atau awal 2022 dengan konsep sama seperti LRA di sini membabitkan sumber air dari Sungai Klang.

“Selepas siap sepenuhnya sekitar 2024 atau 2025 barulah kita akan bina fasa dua LRA Labohan Dagang,” kata Suhaimi Kamaralzaman selepas melawat loji Labohan Dagang di Banting, semalam.

Beliau menjelaskan setakat ini tumpuan diberi kepada operasi loji Labohan Dagang fasa satu yang mampu menghasilkan 200 JLH dalam tempoh dua tahun akan datang selepas semua peralatan siap dipasang sepenuhnya.

Katanya, ketika ini loji berkenaan mampu menghasilkan 50 JLH bagi menampung hampir 30,000 akaun pengguna.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Labohan Dagang mampu hasil 200 juta liter air menjelang 2022

KUALA LANGAT, 28 OGOS: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menjangka Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang Fasa 1 mampu menghasilkan 200 juta liter air sehari (JLH) menjelang 2022.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman berkata setakat ini operasi LRA berkenaan hanya menghasilkan 50 JLH disebabkan kerja pemasangan peralatan belum selesai sepenuhnya.

“Dengan kapasiti sedia ada ia mampu menampung penggunaan hampir 30,000 akaun pengguna di Kuala Langat. Kita masih menyediakan paip-paip utama dan kerja-kerja berkenaan dijangka selesai pada 2022.

“Untuk makluman, LRA Labohan Dagang ini menggunakan teknologi baharu iaitu mengekstrak air dari hilir sungai (down stream).

“Sebelum ini teknologi pada tahun 80-an adalah ekstrak air dari bahagian atas (up stream) dekat dengan empangan yang mana air masih lagi bersih dan dirawat seperti di LRA Semenyih 1,” katanya selepas lawatan ke LRA itu di Banting.

Beliau menjelaskan teknologi ekstrak sumber air dari hilir sungai turut diguna pakai di LRA Labu dan Semenyih 2.

Suhaimi memaklumkan LRA Labohan Dagang merupakan loji pertama di Kuala Langat yang mana pengguna sebelum ini bergantung kepada LRA Sungai Selangor dan Bukit Tampoi.

Loji berkenaan mula dibina pada 2017 dan mula beroperasi pada 18 Disember 2019 dengan kos bernilai RM370 juta.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

LRA Labohan Dagang atasi isu air Kuala Langat

OLEH NAZLI IBRAHIM

BANTING, 25 JUN: Pihak yang mendakwa kononnya projek pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Labohan Dagang sebagai satu pembaziran akhirnya terpaksa menelan kata-kata sendiri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, hal ini berikutan projek menelan kos RM587 juta itu membolehkan Daerah Kuala Langat mendapat bekalan air sendiri dan tidak lagi bergantung kepada LRA Sungai Selangor.

“Kecaman dan dakwaan itu adalah tidak berasas kerana mereka yang membuat kecaman itu tidak memahami perancangan jangka panjang yang menjadi tanggungjawab sesebuah kerajaan.

“Dengan siapnya LRA Labohan Dagang (Fasa 1) ini, Kuala Langat akan mendapat bekalan air sendiri sebaliknya sebelum ini, daerah ini adalah kawasan dihujung sistem bekalan air dan tidak ada satu loji khusus untuk menapung permintaan air.

“Kuala Langat termasuk kawasan Klang adalah kawasan terakhir dalam sistem agihan air dari Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 dan 3.

“Sebelum ini, jika berlakunya gangguan bekalan Kuala Langat adalah kawasan terakhir akan pulih kerana ia berada di hujung sistem bekalan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan LRA Labohan Dagang di tapak loji itu di sini, petang tadi.

Amirudin berkata, dengan adanya LRA Labohan Dagang, masalah bekalan air di kawasan Kuala Langat dan Klang dapat diatasi sementara bekalan air daripada Sungai Selangor Fasa 1 dan 3 boleh ditumpukan kepada kawasan Lembah Klang.

Katanya, LRA Labohan Dagang juga secara berfasa akan mengambilalih bekalan air dari LRA Sungai Semenyih ke kawasan Beranang, sebahagian kawasan Hulu Langat dan pembangunan baharu di sepanjang Lebuh Raya Lekas.

“Dengan kaedah ini, LRA Semenyih boleh membantu pembekalan ke kawasan Subang Jaya.

“Manakala bekalan air dari Loji Labu boleh ditumpukan sepenuhnya untuk menampung permintaan pengguna yang semakin pesat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Categories
SELANGOR

LRA Labohan Dagang dan Semenyih 2 tak ganggu Langat 2

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 8 NOV: Pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih 2 dan Labohan Dagang tidak menjejaskan fungsi LRA Langat 2 sebaliknya memperkukuhkan lagi sistem agihan air di Selangor serta Lembah Klang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, kedua LRA baru ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai pelabur terutama dari sektor perumahan dan industri yang akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi lebih pesat di kawasan Selatan Selangor terutama Kuala Langat dan Klang.

“LRA Labohan Dagang dan LRA Semenyih 2 adalah inisiatif Kerajaan Negeri mewujudkan ekosisitem perkhidmatan air komprihensif dan kondusif serta pelengkap kepada sisitem agihan sedia ada yang menyeluruh bagi Selangor terdiri daripada LRA SSP 1, SSP 2 dan SSP 3 bagi kawasan Utara (Selangor).

“LRA Sungai Langat, Semenyih, Semenyih 2 dan LRA Langat 2 untuk kawasan Tengah (Selangor) manakala LRA Labohan Dagang untuk kawasan Selatan (Selangor),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan Negeri Selangor 2018.

Katanya, pembinaan dua LRA itu juga tidak akan menjejaskan fungsi LRA Langat 2 kerana sistem agihannya akan tertumpu ke kawasan Kuala Lumpur, Cheras, AU3 Ampang dan Bukit Jalil serta tidak meliputi kawasan dari LRA Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang

Menurutnya, rangkaian ini sebagai usaha memastikan perhubungan sistem agihan air yang dapat membantu mana-mana kawasan sekiranya mengalami masalah gangguan bekalan air.

Dua logi rawatan air bantu tambah kapasiti air

Projek pembinaan dua Loji Rawatan Air (LRA) di Semenyih 2 dan Labohan Dagang bakal membantu menambah kapasiti air mentah kerana peningkatan permintaan lebih tiga peratus setiap tahun di Lembah Klang.