Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Selangor bakal miliki dua pasar raya agro – EXCO

SABAK BERNAM, 21 OGOS: Pasar raya agro di Puchong yang menjadi lokasi menjual produk tempatan pada harga patut dijangka siap sepenuhnya menjelang 2022, kata EXCO asas tani.

Ir Izham Hashim berkata pasar raya yang dibina dengan kos RM8 juta itu boleh menempatkan 50 peniaga sekaligus meningkatkan hasil jualan industri asas tani.

“Selain itu Kerajaan Negeri dengan agensi berkaitan di peringkat pusat telah mengenal pasti tapak pembinaan pasar raya agro kedua berhampiran Sungai Klang.

“Ketika ini beberapa perkara akhir sedang diteliti sebelum majlis pecah tanah diadakan. Berdasarkan pelan awal, pasar raya agro ini boleh memuatkan sehingga 500 peniaga,” katanya pada Majlis Penyerahan Insentif Input Pertanian di Pusat Pertanian Jabatan Pertanian Sungai Besar hari ini.

Izham juga berkata Kerajaan Negeri mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menukar status pasar awam kepada Pasar Agro Selangor.

“MBSA telah tawarkan beberapa lokasi pasar awam dan sedang nilaikan kesesuaiannya tetapi kita jangkakan perkara ini diselesaikan dalam tempoh terdekat.

“Selain itu kita juga akan berbincang dengan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung penukaran status pasar awam kepada Pasar Agro Selangor dengan sasaran setiap PBT sekurang-kurangnya ada satu pasar tersebut bertukar status,” katanya.