SHAH ALAM, 21 SEPT: Ban rosak dan pecah pada hujung minggu lalu akibat air pasang besar akan dibaiki sebagai persediaan menghadapi fenomena sama bulan depan.
Ketua Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor berkata senarai kerosakan akan diserahkan kepada bahagian teknikal untuk tindakan lanjut.
“Kawasan air melimpah akan terus dikawal. Kita jangkakan paras ais pasang pada Oktober nanti lebih tinggi iaitu 5.8 meter berbanding bulan ini di paras 5.7 meter.
“Kejadian kali ini masih dapat dikawal kerana persediaan awal dibuat selepas ramalan. Pusat pemindahan sementara tetap disediakan namun tiada mangsa ditempatkan,” kata Ahmad Fairuz Mohd Yusof kepada SelangorKini hari ini.
Beliau menjelaskan kawasan sekitar Klang, Kuala Langat dan Kuala Selangor difokuskan bulan depan kerana paras air tinggi dijangka berlaku di situ.
Fenomena berkenaan berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi Sabtu dan Ahad lalu serta dijangka berlarutan pada 17 hingga 19 Oktober dan 15 hingga 16 November.
Pusat Hidrografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.