Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sabah rekod semua 13 kes tempatan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebanyak 23 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini membabitkan 13 penularan tempatan dan 10 kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua 13 kes tempatan dicatatkan di Sabah dengan 10 daripadanya rakyat Malaysia membabitkan lapan kes Kluster Pulau, empat kes Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dan satu kes saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

Tambahnya, kes import melibatkan lima warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan lima kes import membabitkan negara Filipina dengan tiga kes manakala masing-masing satu dari Hungary dan Turki.

“Baki lima lagi di Selangor juga dari Filipina, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes adalah 9,969 dengan 632 kes aktif kebolehjangkitan sementara enam individu sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah setakat ini 9,209 kes.

Terdapat 14 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan empat memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 128 kes.