Categories
AGENDA NASIONAL

Mutasi D614G kluster Benteng LD berasal dari Indonesia, Filipina

PUTRAJAYA, 2 OKT: Virus Covid-19 Kluster Benteng LD, Sabah yang dikesan mempunyai jenis mutasi D614G didapati datang dari Indonesia dan Filipina.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata berdasarkan kajian dijalankan makmal Institut Penyelidikan Perubatan (IMR), meskipun kumpulan mutasi sama (D614G) dikesan bagi beberapa kluster di Kedah, kedua-duanya mempunyai ciri berbeza.

“Kita juga melaksanakan kajian strain virus di Sabah (Kluster Benteng LD) dan strain itu juga D614G (tetapi) datang dari Indonesia dan Filipina. Strain yang kumpulan sama (Kluster PUI Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Sungai, Kedah) tapi ciri-cirinya tidak sama.

“Oleh itu, kita rasa kebolehjangkitan meningkat sikit kalau dibandingkan dengan strain sebelum ini. (Namun) Apa yang penting adalah mengambil tindakan kesihatan awam,” katanya dalam sidang media perkembangan terkini Covid-19 semalam.

Sebelum ini, Dr Noor Hisham dilaporkan berkata terdapat kewujudan mutasi D614G virus Covid-19 yang didapati 10 kali lebih mudah menjangkiti individu lain dan mudah merebak sekiranya disebar oleh individu ‘super spreader’ dalam Kluster Sivagangga.

Dalam pada itu, mengambil contoh nilai kadar kebolehjangkitan (nilai R-naught) yang berjaya diturunkan di Kedah, Dr Noor Hisham berkata langkah pencegahan di peringkat awal penting dalam menangani penyebaran Covid-19 di Sabah.

“Di Kedah, contohnya (nilai R-naught) pada peringkat awal adalah tinggi iaitu melebihi 2.0 tapi sekarang kita berjaya turunkan. Di Sabah, kita lihat R-naught 1.4, jadi tindakan kita sekarang iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di empat daerah.

“Selain itu, sekatan jalan raya antara daerah, tindakan kesihatan awam dan mengetatkan kawalan sempadan dilaksanakan. Kita percaya dengan tindakan kita seperti dulu, kita boleh kawal jangkitan di Sabah,” katanya.

Beliau turut menekankan sama seperti di Selangor, walaupun kes positif dicatatkan tidak tinggi seperti di Sabah, pelaksanaan tindakan kesihatan awam penting memandangkan nilai kebolehjangkitan negeri itu adalah 1.9.

“Untuk tempoh sembilan bulan kita dah guna pakai tindakan kesihatan awam dan berjaya tamatkan 100 kluster. Kini ada 24 kluster aktif yang kita sedang pantau. Peperangan masih berjalan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster Benteng LD, Bangau-Bangau catat kes Covid-19 tinggi

SHAH ALAM, 26 SEPT: Kluster Benteng LD dan Kluster Bangau-Bangau di Sabah menjadi faktor jumlah kes Covid-19 di Malaysia masih tinggi apabila masing-masing merekodkan 33 dan 25 kes baharu hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata negeri itu merekod angka tertinggi penularan wabak dengan 64 daripada 82 kes.

“Penularan turut dikesan menerusi tiga kes saringan bergejala, satu kes saringan di pintu masuk antarabangsa dari Semenanjung, satu kes penyakit seperti selesema di Klinik Kesihatan Tawau dan satu saringan kemasukan ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas.

“Jumlah kes positif Kluster Benteng LD setakat ini 776 dan seramai 10,775 disaring. Jumlah kes positif Kluster Bangau-Bangau pula 159 dan seramai 351 individu disaring,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Malaysia merekodkan sebanyak 82 kes baharu Covid-19 hari ini dengan 79 daripadanya jangkitan tempatan manakala tiga kes import.

Selain Sabah, Kuala Lumpur merekod enam kes, Negeri Sembilan (tiga), Selangor dan Terengganu
(masing-masing dua) serta Pahang, Melaka, Johor, Sarawak dan Labuan (masing-masing satu).

Categories
AGENDA NASIONAL

Benteng LD antara empat kluster catat tambahan kes

SHAH ALAM, 18 SEPT: Seramai 7,814 individu disaring dalam Kluster Benteng Lahad Datu (LD), Sabah setakat ini dengan pertambahan 76 kes positif Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan itu menjadikan kes positif kluster terbabit seramai 550 orang.

“Seramai 2,009 individu disaring di Lahad Datu dengan sembilan kes baharu dicatatkan, 5,804 disaring di Tawau (66 kes baharu) dan Sandakan (satu kes baharu),” katanya dalam kenyataan.

Beliau menambah seramai 345 individu disaring daripada kluster Pulau dengan pertambahan empat kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan 14 kes.

Bagi kluster Selamat, katanya, 137 individu disaring dan tiga kes baharu dicatatkan menjadikan keseluruhan positif sebanyak lima orang.

“Seramai 59 individu disaring dalam kluster Bunga di Negeri Sembilan dan satu kes baharu dilaporkan sekali gus menjadikan jumlah kes positif kluster ini sebanyak 11 individu.”

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sabah rekod semua 13 kes tempatan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebanyak 23 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini membabitkan 13 penularan tempatan dan 10 kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua 13 kes tempatan dicatatkan di Sabah dengan 10 daripadanya rakyat Malaysia membabitkan lapan kes Kluster Pulau, empat kes Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dan satu kes saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

Tambahnya, kes import melibatkan lima warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan lima kes import membabitkan negara Filipina dengan tiga kes manakala masing-masing satu dari Hungary dan Turki.

“Baki lima lagi di Selangor juga dari Filipina, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes adalah 9,969 dengan 632 kes aktif kebolehjangkitan sementara enam individu sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah setakat ini 9,209 kes.

Terdapat 14 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan empat memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 128 kes.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kluster baharu babit tahanan lokap, tujuh positif Covid-19

SHAH ALAM, 1 SEPT: Satu lagi kluster baharu dikesan membabitkan tahanan lokap di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, Sabah.

Ketua pengarah kesihatan berkata setakat ini kluster Benteng LD itu mencatatkan tujuh kes positif dengan enam daripadanya ialah pendatang asing tanpa izin.

“Seramai 50 tahanan turut disaring namun 43 negatif. Semua kes positif ini tidak bergejala. Mereka dimasukkan ke Hospital Lahad Datu dan punca jangkitan masih dijalankan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Menurut Dr Noor Hisham, proses pembersihan dan nyahkuman dijalankan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti selain aktiviti pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak diteruskan bagi mengekang penularan pandemik itu.

Sementara itu, beliau memaklumkan jumlah kluster Tawar dan Telaga meningkat selepas masing-masing merekodkan satu kes baharu.

Katanya, setakat hari ini kluster Tawar mencatatkan 75 kes positif manakala enam kes bagi kluster Telaga.

“Seramai 1,451 individu yang disaring dari dua kluster ini masih menunggu keputusan. Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat masih diteruskan,” katanya.