Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan kluster baharu di Sabah

SHAH ALAM, 15 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengenal pasti satu lagi kluster baharu di Kunak, Sabah dikenali sebagai Kluster Pulau.

Ketua pengarah kesihatan berkata kes ke-9,940 itu membabitkan seorang wanita tempatan berusia 68 tahun yang dikesan positif Covid-19, kelmarin.

“Beliau ditemui tidak sedarkan diri di rumah dan dibawa ke Hospital Kunak sebelum dirujuk ke Hospital Tawau bagi rawatan serangan jantung, strok dan penyakit hati.

“Saringan Covid-19 mendapati beliau positif dan kini dirawat unit rawatan rapi serta memerlukan bantuan pernafasan,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Beliau berkata saringan kontak rapat secara aktif mengesan lapan lagi kes positif membabitkan ahli keluarga kes indeks.

Katanya, setakat ini seramai 128 individu disaring dalam kluster ini terdiri daripada 109 warganegara dan 19 warga asing.

“Daripada jumlah ini, sembilan kes dikesan positif, 18 negatif manakala 101 masih menunggu keputusan. Langkah pencegahan sudah dijalankan di lokasi yang dikenal pasti dan punca jangkitan dalam siasatan,” kata Dr Noor Hisham.

Sebelum ini, KKM mengenal pasti Kluster Benteng Lahad Datu yang mencatatkan 424 kes keseluruhannya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Sabah rekod semua 13 kes tempatan

SHAH ALAM, 15 SEPT: Sebanyak 23 kes baharu Covid-19 dicatat hari ini membabitkan 13 penularan tempatan dan 10 kes import, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata semua 13 kes tempatan dicatatkan di Sabah dengan 10 daripadanya rakyat Malaysia membabitkan lapan kes Kluster Pulau, empat kes Kluster Benteng Lahad Datu (LD) dan satu kes saringan rujukan dari Hospital Semporna ke Hospital Tawau.

Tambahnya, kes import melibatkan lima warganegara Malaysia dan lima bukan warganegara.

“Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mencatatkan lima kes import membabitkan negara Filipina dengan tiga kes manakala masing-masing satu dari Hungary dan Turki.

“Baki lima lagi di Selangor juga dari Filipina, Qatar, Bangladesh, Nigeria dan Maghribi,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata jumlah keseluruhan kes adalah 9,969 dengan 632 kes aktif kebolehjangkitan sementara enam individu sembuh dan dibenarkan pulang menjadikan jumlah setakat ini 9,209 kes.

Terdapat 14 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan empat memerlukan bantuan pernafasan. Jumlah kematian kekal 128 kes.