SHAH ALAM, 8 SEPT: Sudah tiba masa untuk Selangor menjadi sebuah negeri pengeluar teknologi atau ‘tech-producing state’ dengan memacu inovasi ke arah teknologi hijau, kata EXCO pelaburan.
Dato’ Teng Chang Khim berkata usaha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat supaya mewujudkan ekosistem dalam industri inovasi di negeri itu amat penting.
Katanya Kerajaan Negeri akan meneliti kaedah bagi merealisasikan hasrat itu kerana kesannya mampu mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar selain mampu menarik pelabur.
“Sekarang ini kita adalah pengguna teknologi (technology consumer) dan hanya tahu guna sahaja…sudah sampai tahap kita perlu ada kebolehan untuk mencipta (teknologi). Jadi, kita harus lihat bagaimana untuk laksanakannya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.
Chang Khim turut memberi contoh sebuah syarikat pembekal perkhidmatan dron yang dipacu kecerdasan buatan (AI) tempatan, Aerodyne Group dan kini menjadi pemain industri ketiga paling utama di dunia dalam aplikasi tersebut.
“Syarikat ini berada di Selangor dan menggunakan dron untuk buat analisa data. Malah, Aerodyne sudah masuk ke-32 negara sepanjang tempoh Covid-19,” katanya.