Categories
RENCANA

Inovasi jadi penyelamat perniagaan buah naga ketika pandemik

Oleh Samantha Tan

SEPANG, 27 OKT: Buah naga yang turut dikenali sebagai buah pitaya, lazimnya dinikmati begitu sahaja selain dijadikan jus atau pencuci mulut, dan mungkin ada sesetengah pengusaha yang memproses buah daripada sejenis kaktus itu menjadi kerepek.

Namun, terlintaskah di fikiran kebanyakan kita untuk menggunakan buah itu dalam nasi lemak?

Kedengarannya agak janggal, akan tetapi itulah yang dilakukan oleh pengusaha ladang buah naga Sam Chia, 51, yang menghidangkan menu tersebut di restoran miliknya di Jalan Besar, Batu Satu di sini, kira-kira 66 kilometer dari Kuala Lumpur.

Sam yang mengusahakan ladang dan restoran itu bersama anaknya Eugene Chia, 24, berkata selain nasi lemak buah naga, beliau juga menyediakan roti buah naga berintikan kari ayam di restorannya yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan”.

Minuman jus segar dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama salad, buah atau aiskrim dengan asap berkepuk-kepuk antara menu pilihan pengunjung di Restoran HL Restoran Buah Naga yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan” di Sepang.
Makanan yang menarik minat pengunjung di restoran itu adalah Jumbo Dragon Bun yang rotinya diadun dengan buah naga dan nasi lemak juga dari buah naga. Foto BERNAMA

“Sudah ramai yang mula menanam buah naga, jadi kita kena kreatif memikirkan cara lain untuk mempelbagaikan produk daripada buah segar,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Inovasi penyelamat perniagaan semasa pandemik

Menurut Sam, anaknya Eugene tampil dengan idea kreatif itu bagi memastikan mereka tidak bergantung pada pengeluaran dan jualan buah segar semata-mata berikutan semakin ramai menceburi bidang penanaman buah naga.

“Bermula dari situ, kami mulakan jualan produk dan makanan yang dihasilkan daripada buah naga. Sambutannya amat baik, sama ada daripada masyarakat tempatan mahupun pelancong asing,” katanya yang telah tujuh tahun bergelar pengusaha ladang buah naga.

Sam berkata beliau memulakan perniagaan restoran itu yang dibina di ladangnya yang berkeluasan 1.2 hektar dan mempunyai 3,000 batang pokok buah naga, kira-kira tiga tahun lepas.

Mengulas lanjut, beliau berkata strategi mereka itu ternyata menjadi “penyelamat” kepada mereka sekeluarga dalam mengharungi kegetiran perniagaan semasa penularan pandemik Covid-19 memuncak yang turut menyaksikan eksport buah itu, antaranya ke Hong Kong, terhenti.

Menurutnya, mereka juga berdepan persaingan sengit daripada pengusaha ladang buah naga yang lain, sekali gus menyebabkan berlaku lambakan di pasaran tempatan.

Sambutan memberangsangkan

Anak jati Sepang itu berkata terdapat tiga jenis buah naga di ladangnya, iaitu buah naga kulit merah dengan isi berwarna ungu, kulit merah berisi putih dan kulit kuning berisi putih.

Nasi lemak berwarna merah ungu dari buah naga antara menu popular di Restoran Buah Naga yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan” di Sepang.
Menu lain yang menarik minat pengunjung adalah Jumbo Dragon Bun yang rotinya diadun dengan buah naga dan minuman jus segar dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama salad, buah atau aiskrim dengan asap berkepuk-kepuk. Foto BERNAMA

Menurutnya, ketiga-tiga jenis buah tersebut mempunyai peminat masing-masing dengan mereka yang gemarkan buah naga rasa manis akan memilih buah dengan isi ungu, sementara yang inginkan masam manis cenderung memilih buah isi putih.

Bercerita lanjut, bapa tiga anak itu berkata mereka menggabungkan rasa ketiga-tiga jenis buah berkenaan untuk menghasilkan resipi istimewa, iaitu roti “Jumbo Dragon Bun” berintikan kari ayam dan menjadi produk paling popular mereka.

Permintaan yang begitu memberangsangkan membuatkan mereka mempelbagaikan platform pemasaran dengan turut memanfaatkan penjualan dalam talian, sekali gus membantu menstabilkan perniagaan mereka semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

“Penjualan roti Jumbo Dragon Bun kini mencecah 100 hingga 200 biji sehari termasuk dalam bentuk sejuk beku. Kesemua ini kami edar di sekitar Lembah Klang,” katanya yang turut menyifatkan inovasi itu sebagai hikmah di sebalik Covid-19.

“Jika tidak, pasti kami akan menanggung kerugian besar kerana lambakan buah naga segar yang tidak terjual seperti apa yang terjadi kepada petani lain,” tambahnya.

Promosi agropelancongan

Sementara itu, Eugene yang bertanggungjawab menguruskan restoran tersebut, berkata industri hiliran berasaskan buah naga berpotensi memberikan pulangan yang tinggi kerana menawarkan sesuatu yang berbeza kepada pelanggan.

“Kami menawarkan menu nasi lemak buah naga yang mana nasi dimasak bersama buah naga segar serta jus dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama-sama salad, buah atau aiskrim,” katanya, menambah mereka juga menghasilkan kerepek buah naga sebagai pilihan kepada pelanggan yang tidak gemar buah segar.

Pengurus Restoran HL Restoran Buah Naga, Eugene Chia menunjukkan sijil halal oleh Kerajaan Malaysia di restorannya yang berkonsepkan “dari ladang ke meja makan”, baru-baru ini di Sepang.
Makanan yang menarik minat pengunjung di restoran itu adalah Jumbo Dragon Bun yang rotinya diadun dengan buah naga, nasi lemak juga dari buah naga serta minuman jus segar dikenali ‘Dragon Breath’ yang disajikan bersama salad, buah atau aiskrim dengan asap berkepuk-kepuk. Foto BERNAMA

Menurut Eugene, strategi perniagaan mereka bukan sahaja meningkatkan daya tahan perniagaan tetapi juga mencipta peluang pekerjaan untuk anak tempatan di daerah ini.

“Cef dan pekerja di restoran ini adalah anak Sepang,” katanya, menambah menerusi keunikan restoran itu mereka dapat membantu mempromosikan daerah Sepang sebagai destinasi agropelancongan.

Selain itu, ladang tersebut juga dijadikan “gedung ilmu” berkaitan buah naga untuk pengunjung yang mahu mengenali dengan lebih dekat akan tanaman berkenaan, khususnya dari segi khasiat.

Menurut Eugene, mereka turut membina sebuah struktur berbentuk buah naga setinggi tiga tingkat yang membolehkan pengunjung menikmati keindahan panorama kawasan ladang berkenaan.

Istimewanya, struktur itu dicatatkan dalam Malaysia Book of Records sebagai struktur buah naga terbesar di Malaysia, pada tahun ini.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Penyelidik Malaysia bawa pulang hadiah, pingat SIIF 2020

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Penyelidik Malaysia membawa pulang satu hadiah utama selain 19 pingat emas, 11 perak dan lapan gangsa, menerusi penyertaan dalam Seoul International Invention Fair (SIIF 2020).

Presiden Persatuan Saintis Penyelidik Malaysia (MARS) Dr Muhd Noor Muhd Yunus berkata, walaupun dunia masih lagi bergelut dengan pandemik Covid-19, penyelidik negara tetap aktif menghasilkan pelbagai inovasi bagi manfaat sejagat.

Beliau berkata inovasi daripada Malaysia biasanya mendapat perhatian juri-juri di negara itu, kerana bukan sahaja memenuhi kriteria tetapi juga mempunyai potensi serta kualiti tinggi.

“Inovasi Malaysia yang bertanding telah melalui saringan yang ketat, selain turut memenangi Pingat Emas dalam pertandingan yang dianjurkan di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pertandingan yang berlangsung pada 1 hingga 4 Disember lepas di Korea Selatan itu, turut disertai Agensi Nuklear Malaysia, SIRIM Berhad, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan University College Sedaya International (UCSI) Education.

Selain itu, lebih 42 inovasi dipertandingkan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI SELANGOR

PPAS semarakkan sains, teknologi dan inovasi

SHAH ALAM, 2 OKT: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyemarakkan bidang sains, teknologi dan inovasi dalam kalangan masyarakat dengan menganjurkan 33 program khas sepanjang September sehingga Disember.

Agensi itu berkata penyertaan adalah percuma dan terbuka kepada individu berusia 13 tahun ke atas dengan keutamaaan kepada berpendapatan rendah (B40).

Antara pengisian program adalah pendidikan dan kerjaya masa depan: robotik, bina dan reka: inovasi baharu lego, era baharu e-perdagangan, latihan percetakan 3D, kreatif di hujung jari: Adobe Photoshop (Mobile) dan latihan mengendalikan dron.

Pendaftaran boleh dibuat dipautan shorturl.at/cozBW atau menghubungi 019-3053 836 atau 019-4775 818.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah dan Pengurusan Sumber Alam; Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Komunikasi Strategik; Majlis Tindakan Ekonomi Selangor.

Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna turut menjayakan program berkenaan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Selangor perlu jadi negeri pengeluar teknologi, pacu inovasi

SHAH ALAM, 8 SEPT: Sudah tiba masa untuk Selangor menjadi sebuah negeri pengeluar teknologi atau ‘tech-producing state’ dengan memacu inovasi ke arah teknologi hijau, kata EXCO pelaburan.

Dato’ Teng Chang Khim berkata usaha meningkatkan kesedaran kepada masyarakat supaya mewujudkan ekosistem dalam industri inovasi di negeri itu amat penting.

Katanya Kerajaan Negeri akan meneliti kaedah bagi merealisasikan hasrat itu kerana kesannya mampu mengurangkan kebergantungan terhadap teknologi luar selain mampu menarik pelabur.

“Sekarang ini kita adalah pengguna teknologi (technology consumer) dan hanya tahu guna sahaja…sudah sampai tahap kita perlu ada kebolehan untuk mencipta (teknologi). Jadi, kita harus lihat bagaimana untuk laksanakannya,” katanya.

Dato’ Teng Chang Kim memberi rumusan Sindiket 1D : Penciptaan Kekayaan ketika sesi Dialog Belanjawan Negeri Selangor Tahun 2021 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 7 September 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada sesi rumusan Dialog Belanjawan Selangor 2021 di Pusat Konvensyen Setia City di sini semalam.

Chang Khim turut memberi contoh sebuah syarikat pembekal perkhidmatan dron yang dipacu kecerdasan buatan (AI) tempatan, Aerodyne Group dan kini menjadi pemain industri ketiga paling utama di dunia dalam aplikasi tersebut.

“Syarikat ini berada di Selangor dan menggunakan dron untuk buat analisa data. Malah, Aerodyne sudah masuk ke-32 negara sepanjang tempoh Covid-19,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyelidik UMK cipta sistem saringan integrasi tanpa sentuh

BACHOK, 13 JULAI: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) berjaya menghasilkan produk inovasi membolehkan proses saringan suhu di pintu masuk utama universiti itu dilakukan tanpa sentuh dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19.

Pengarah Bahagian Pengurusan Penyelidikan, Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) UMK Dr Abdul Hafidz Yusoff berkata sistem integrasi yang dinamakan ‘UMK V-Integrated Screening System’ atau UMK-VISS itu dibangunkan oleh penyelidik dari Fakulti Biokejuruteraan dan Teknologi (FBKT), diketuai Dr Sarizam Mamat.

“Jika sebelum ini khidmat pengawal diperlukan bagi menyukat suhu, tetapi dengan penggunaan inovasi yang dihasilkan ini, membolehkan warga UMK hanya perlu melalui UMK-VISS dan bacaan suhu akan dipaparkan di skrin.

“Sekiranya suhu melebihi 36.5 darjah Celsius, buzzle akan berbunyi dan individu berkenaan tidak dibenarkan masuk ke dalam kampus UMK,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Produk inovasi itu, katanya mengggabungkan tiga elemen utama dalam satu sistem iaitu pengecam muka, pemeriksaan suhu badan dan cecair pembasmi kuman automatik.

Ia mampu melancarkan proses saringan kesihatan selaras dengan kemasukan pelajar UMK yang akan memulakan pengajian semula pada Oktober nanti selain dapat mengurangkan kontak antara manusia.

Beliau berkata, sistem pembasmi kuman automatik yang ada pada produk itu akan mengeluarkan cecair apabila diletakkan tapak tangan dan ini dapat mengelakkan jangkitan melalui sentuhan tangan ketika proses mensanitasi tangan.

“Warga UMK tidak perlu lagi memicit botol menggunakan tangan, sebaliknya sistem ini akan mengeluarkan cecair pembasmi kuman yang dihasilkan sendiri oleh penyelidik UMK berpandukan piawaian dan formulasi yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).

“Bagaimanapun, pada masa yang sama semua langkah pencegahan lain seperti penjarakan sosial, kerap membasuh tangan, pemakaian pelitup muka, menjauhi kawasan sesak tetap perlu diamalkan oleh semua staf semasa bertugas di pejabat,” katanya.

Katanya, selain sebagai persediaan untuk saringan kepada kemasukan pelajar UMK, alat saringan kesihatan ini juga dilihat amat sesuai untuk ditempatkan di lokasi lain yang berisiko, termasuk hospital, klinik-klinik kesihatan, balai polis dan jabatan kerajaan yang lain.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Idaman Tea, inovasi si cilik Malaysia rangkul pingat emas antarabangsa

Oleh Oleh Muhammad Zulhaziq Ismail

PELABUHAN KLANG, 25 JUN: Mencipta suatu produk inovasi  bukannya mudah, kerana ia memerlukan pemikiran di luar kotak dan daya kreativiti yang tinggi.

Apatah lagi, produk berkenaan berkaitan kesihatan dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat serta menggunakan 100 peratus sumber asli tempatan.

Namun, cabaran inilah berjaya direalisasikan tiga pelajar Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman di Pelabuhan Klang, bersama-sama tiga orang guru pembimbing yang menghasilkan Idaman Tea, iaitu inovasi produk minuman berasaskan serbuk daun pucuk jambu batu dan daun pudina dalam uncang serat daun nanas.

Menariknya, uncang teh daripada serat nanas ini boleh diguna berulang kali sekali gus menjadi yang pertama seumpamanya di dunia.

Lebih manis, inovasi hasil idea kreatif bakal ahli sains muda ini berjaya merangkul pingat emas bagi kategori sekolah dalam pertandingan Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition 2020 (IPITEx 2020), yang berlangsung pada 2 hingga 6 Februari 2020 lalu di Thailand.

Pelajar berkenaan ialah Mohamad Khairy Faris Afandey, Nidal Eiman Erwin dan Muhammad Aqil Yahya dibimbing oleh guru mereka iaitu Danial Heryanto Zainal Abidin, 42, selaku ketua pasukan, Mohd Norhizal Ramlee, 40 dan Shahrizal Mohd Azain, 37.

Apa yang membanggakan, mereka juga merupakan satu-satunya pasukan dari Malaysia yang memenangi anugerah khas iaitu I New Gen Award IPITEx 2020 pada pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu.

Malaysia diwakili 300 pasukan ke IPITEx 2020 yang menghimpunan lebih 2,000 pasukan pelbagai peringkat sekolah seluruh dunia, antaranya dari Poland, Iran, Korea, Jepun, Thailand, Kanada, Filipina, China, Arab Saudi dan United Kingdom.

Ini merupakan penyertaan kali kedua sekolah berkenaan di peringkat antarabangsa selepas turut memenangi pingat emas pada pertandingan Indonesia International Young Inventor Award (IYIA) 2019.

Komersialkan Idaman Tea

Menurut Danial Heryanto, kini pihak sekolah sedang dalam proses mendaftarkan Idaman Tea dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan cap dagangan logo produk dalam masa terdekat bagi melindungi idea asal produk ini.

“Harapan kami agar produk ini (Idaman Tea) dapat dipasarkan dan dikomersialkan tahun ini,” katanya kepada Bernama sambil menambah ketika ini guru sekolah berkenaan yang mengusahakan produk berkenaan secara tradisional tanpa penggunaan mesin termasuk dalam aspek pembungkusan.

Pihak Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) di MAEPS, Serdang, Selangor banyak membantu dari segi idea pemasaran Idaman Tea, kata Danial Heryanto.

Khasiat Idaman Tea antara lain mengandungi agen antioksida likopena mengandungi Vitamin C, dapat melegakan cirit-birit, mengurangkan kolesterol, dapat mengawal gula dalam darah, mengurangkan risiko kanser payu dara dan kanser prostat, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal pengaliran darah ke otak.

Cetusan Idea

Mengimbau bagaimana serbuk teh herba Idaman Tea itu berjaya dihasilkan, Danial Heryanto berkata idea asal dicetuskan oleh guru Mohd Norhizal yang mencadangkan kepada pasukan berkenaan agar ‘mendalami’ petua perubatan orang tua-tua dahulu yang menggunakan sumber alam sekeliling untuk mengubati penyakit.

Melihatkan idea itu berpotensi untuk dikaji memandangkan generasi muda kini lebih gemar menggunakan produk berasaskan herba dan sumber alam semulajadi, beliau dan pasukannya menggembleng usaha melakukan pelbagai kajian serta penyelidikan ke atas dedaun herba yang boleh diinovasikan untuk merawat penyakit.

“Kita perlu melakukan pelbagai proses bagi melihat keserasian gabungan dedaun herba terdiri daripada pucuk daun batu dan daun pudina yang dikeringkan secara tradisional di bawah cahaya matahari,” katanya.

Menurut Danial Heryanto, pada mulanya, hanya daun pucuk jambu digunakan untuk produk minuman herba, tapi ia didapati tidak cukup untuk mencapai tahap inovasi yang boleh diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Jadi, pasukan kami terus membuat penyelidikan dan akhirnya mendapat gabungan serasi iaitu memasukkan khasiat daun pudina selain menggunakan serat daun nanas sebagai uncang teh untuk mengubati penyakit cirit-birit,” katanya menambah mereka mengambil masa kira-kira enam bulan untuk menyiapkan produk berkenaan.

Kerjasama Mardi, Uitm & LPNM

Sementara itu, Mohd Norhizal berkata penjanaan idea inovasi minuman herba itu dimulakan sejak Februari 2019 dan tiga pelajar dalam pasukan berkenaan banyak dilibatkan dengan proses tersebut supaya mereka belajar serta faham kaedah untuk menyumbangkan buah fikiran bagi sesuatu projek.

“Kami juga menjalin kerjasama dengan UiTM dan beberapa agensi antaranya Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) bagi merealisasikan idea inovasi kami itu kepada produk sebenar,” katanya.

Menurut beliau, MARDI membantu dari segi melakukan ujian pada kandungan produk, sementara UiTM melalui Fakulti Kejuruteraan Awam cawangan Shah Alam banyak memberi bimbingan dan tunjuk ajar dalam ujian menentukan nisbah minuman dan penyediaan makmal kepada pasukannya.

“LPNM pula memberi bantuan bekalan daun nanas dan khidmat nasihat mengenai serat nanas,” kata Danial Heryanto sambil menambah Idaman Tea tidak mengandungi campuran bahan kimia malah kandungannya 95 peratus daun pucuk jambu batu dan lima peratus daun pudina.

Pelajar Aktif Jana Idea

Menceritakan kegigihan pelajarnya dalam menjayakan projek berkenaan, Mohd Norhizal berkata beliau berasa bangga apabila melihat anak muridnya yang berumur 11 tahun mampu mengembangkan idea inovasi secara kreatif berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka.

“Ada dalam kalangan pelajar melontarkan idea serta cadangan untuk menggabungkan daun pandan bersama pucuk daun jambu batu bagi menghasilkan teh herba dan ada juga mengambil daun jagung atau tebu dijadikan kotak,” katanya.

Beliau berkata, selain menjana idea, pelajar berkenaan juga perlu mempersembahkan hasil kerja mereka dari awal proses pembuatan sehingga produk akhir dengan tunjuk ajar guru pembimbing. Masing-masing ada kebolehan tersendiri dan cepat memahami serta tahu apa yang perlu dilakukan.

Selain aktif dalam penjanaan idea, Mohd Norhizal berkata pelajarnya iaitu Mohd Khairy Faris, Nidal Eiman dan Muhammad Aqil turut didedahkan dengan penggunaan pelbagai peralatan makmal di UiTM.

Pada masa sama, Shahrizal turut memuji kebolehan tiga pelajarnya dalam mempersembahkan produk berkenaan kepada juri dan tetamu pertandingan inovasi peringkat antarabangsa itu walaupun mereka baru pertama kali menyertai pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Biarpun ketiga-tiga pelajar itu dipilih menyertai pasukan berkenaan menerusi satu uji bakat di sekolah, namun keyakinan mereka memperkenalkan produk inovasi itu dalam bahasa Inggeris menunjukkan mereka mempunyai minat yang sangat mendalam dalam bidang reka cipta dan sains,” katanya.

Sementara itu, bagi Nidal Eiman yang mewakili dua rakannya, berkata pengalaman dapat mewakili sekolahnya ke peringkat antarabangsa amat membanggakan diri mereka kerana ia peluang keemasan yang tidak semua pelajar peroleh.

Menceritakan secara ringkas mengenai pengalaman dalam merealisasikan inovasi serbuk teh itu, Nidal Eiman berkata disebabkan produk inovasi itu harus mencapai standard tinggi pertandingan, pelbagai kajian dilakukan bersama guru dan proses itulah banyak mendedahkan mereka dalam bidang sains serta reka cipta.

Menurutnya, pengalaman melihat dan mencuba sendiri peralatan makmal yang canggih untuk menguji produk inovasi minuman mereka di agensi kerajaan yang terlibat akan sentiasa tersemat dalam sanubari dan dijadikan pembakar semangat untuk terus meneroka bidang inovasi pada masa depan.

“Apa pun, saya memang tak jangka pasukan kami mampu meraih pingat emas kerana pertandingan itu turut disertai pelajar sekolah menengah dan sekolah elit dari pelbagai negara yang mengetengahkan produk inovasi yang jauh lebih hebat,” katanya mengakhiri perbualan sambil berharap Idaman Tea dapat dikomersialkan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Inovasi, teknologi digital tangani permintaan rumah mampu milik

KUALA LANGAT, 2 MEI: Inovasi dan teknologi digital akan menjadi kaedah terkini untuk menangani permintaan terhadap rumah mampu milik dalam waktu terdekat, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, penggunaan Sistem Binaan Berindustri (IBS) digital, yang merangkumi alat reka bentuk dalam talian, Pemodelan Maklumat Pembinaan (BIM) dalam projek perumahan awam akan membantu kerajaan untuk memenuhi sasaran satu juta unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh 10 tahun.

“Saya dimaklumkan IBS digital menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan kita di masa depan, dan langkah memanfaatkan teknologi IBS digital akan membolehkan pemaju membina rumah lebih murah dalam tempoh lebih singkat.

“Ia juga kurang berintensifkan buruh, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing dan aliran keluar modal tahunan,” katanya dalam ucapan semasa merasmikan kilang digital IBS Gamuda di kawasan perindustrian Bandar Mahkota Banting di sini, hari ini.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir; Anggota Lembaga Pengarah Gamuda Berhad, Raja Datuk Seri Eleena Sultan Azlan Shah dan Pengarah Urusan Kumpulan Gamuda Berhad, Datuk Lin Yun Ling.

Menurut Dr Mahathir, rumah mampu milik serta akses lebih mudah menerusi rangkaian infrastruktur pengangkutan awam (termasuk rel) akan meningkatkan kesalinghubungan dan memacu aktiviti perniagaan dan pertumbuhan ekonomi.

“Ini selaras dengan aspirasi kerajaan dan strategi bagi perumahan negara.

‘’Selain itu, memanfaatkan teknologi IBS digital tepat pada masanya kerana ia turut mengalami perubahan seiring dengan Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0), trend semasa teknologi automasi dan pembuatan yang termasuk pengkomputeran awan dan BIM,” katanya.

Dr Mahathir turut memuji Gamuda Berhad, sebagai perintis dalam mengguna pakai IBS digital di negara ini dengan melabur lebih RM500 juta untuk dua kilang canggih mereka di Sepang dan Banting.

Beliau berkata, langkah Gamuda untuk membangunkan IBS digital bukan sahaja membantu kerajaan untuk membina rumah mampu milik tetapi juga menetapkan trend dalam meningkatkan dan mengubah kaedah pembinaan.

“IBS digital akan menghasilkan pembinaan lebih pantas, pengurangan ketara kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor pembinaan dan penggunaan tenaga kerja tempatan dalam sektor pembinaan Malaysia; dan kualiti tinggi.

‘’Saya dimaklumkan bahawa rumah mampu milik akan dibina pada standard yang sama dengan rumah mewah. Ini merupakan jenis teknologi disruptif yang negara perlukan lebih banyak lagi,” katanya.

Dr Mahathir berkata, sama seperti negara membangun lain, satu daripada keutamaan kerajaan adalah untuk menyediakan bekalan rumah mampu milik yang mencukupi untuk memastikan kesejahteraan dan peningkatan mobiliti rakyat Malaysia.

Komitmen seumpama itu adalah amat penting jika kerajaan berhasrat untuk membantu rakyatnya yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah untuk mempunyai tempat tinggal yang selesa di lokasi betul untuk mereka mendapatkan pekerjaan atau peluang ekonomi lain, katanya.

Menurut Dr Mahathir, ini akan meningkatkan status sosial-ekonomi mereka dan akan turut menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi sihat untuk negara.

“Dasar Perumahan Negara (2018-2025) fokus pada isu sosial di kawasan perumahan di peringkat komuniti setempat, terutamanya di kawasan perumahan kos rendah berstrata di seluruh negara dan perlukan agensi berpusat untuk menyelaraskan usaha itu.

“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di bawah Dasar Perumahan Negara menyasarkan untuk membina sebanyak 100,000 unit rumah mampu milik dengan modal RM300,000 menjelang akhir tahun ini. Ini seiring dengan manifesto kerajaan Pakatan Harapan untuk membina satu juta unit rumah mampu milik dalam tempoh dekad akan datang,” katanya.

Kilang digital IBS Gamuda di Banting di kawasan seluas 27 hektar merupakan kilang IBS terbaru di negara ini, menggabungkan alat reka bentuk dalam talian, platform BIM, dan mesin robotik bagi pembinaan bangunan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
GLOBAL SAINS & INOVASI

Anggota badan manusia ganti robotik menjelang 2070

INOVASI: LONDON 6 FEB: Pakar robotik, Chris Middleton menjangkakan anggota badan manusia boleh digantikan dengan bahagian robotik menjelang 2070.

Berita AGENSI melaporkan menurut Middleton, manusia kini semakin hampir dengan masa depan bagi mengganti atau menaik taraf anggota badan supaya memiliki kuasa luar biasa.

“Biohacker kini telah menaik taraf anggota badan dengan implan seperti cip yang membolehkan mereka membuka pintu hanya dengan gelombang tangan.

“Dalam tempoh 50 atau 100 tahun lagi, kemungkinan seluruh tubuh manusia boleh digantikan, diubah suai atau dinaik taraf,” katanya kepada Daily Star.

Middleton yang sering memberi syarahan mengenai kesan Kecerdasan Buatan (AI) di universiti-universiti berkata, walaupun kepercayaan bahawa robotik dan AI akan memainkan peranan besar pada masa hadapan, pendapatnya itu hanya ramalan berdasarkan situasi terkini.

Beberapa siri televisyen terbaharu banyak mendedahkan mengenai idea ‘cyborg’ dan semi manusia seperti Black Mirror dan Westworld.

Salah seorang biohacker pertama ialah Kevin Warwick, seorang jurutera dan Naib Canselor di Universiti Conventry yang menanam implan pada lengan bagi membolehkannya mengawal peranti itu dengan gerakan mudah seperti mengetuk jari.

SUMBER: AGENSI

Categories
SELANGOR

Idea kreatif dan inovatif mampu ulangi kejayaan Mark Zuckerberg

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 OKT: Peranan idealisme penting untuk mendorong masyarakat memaksimumkan daya kreativiti bagi melahirkan individu berpotensi mencapai kecemerlangan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, daya kreativiti penjawat awam khususnya golongan muda mampu mengatasi pelbagai halangan dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada umum.

Beliau percaya, pendekatan itu membolehkan tenaga muda berfikiran kritis sekali gus dapat melahirkan amalan dan budaya kerja yang berinovasi.

“Inovasi yang bijak dan idea yang besar pada zaman ini dihasilkan oleh pencipta inovasi yang sangat muda.

“Ini mengulangi kejayaan Mark Zuckerberg yang mencipta Facebook dan Bill Gates dengan fenomena Microsoft.

“Idea-idea ini telah memberi sumbangan dan manfaat kepada seluruh umat manusia,” katanya.

Mohamed Azmin berkata, perkembangan atas kejayaan itu sekali gus memerlukan penglibatan belia untuk lebih kritis dalam menghasilkan gerak kerja.

“Idea kreatif ini seperti bintang, kita tidak mampu untuk mencapainya. Tetapi kita mampu jadi seperti seorang pelaut yang berupaya untuk mencipta haluan ke arahnya,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin bercakap pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor 2017 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya; Exco Kerajaan Negeri Dato’ Ahmad Yunus Hairi dan Dr Daroyah Alwi.

Pada majlis itu, pelbagai agensi Kerajaan Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) diiktiraf atas sumbangan, idea dan projek kreatif dalam membantu Kerajaan Negeri memacu kepada pertumbuhan ekonomi negeri.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SAINS & INOVASI SELANGOR

Hargai budaya kreativiti dan inovasi demi kemajuan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 12 OKT: Agensi dan Jabatan Kerajaan Negeri diiktiraf pada Majlis Apresiasi Inovasi Peringkat Negeri Selangor 2017 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, penganjurannya membuktikan komitmen pentadbiran negeri menghargai kreativiti dan inovasi sebagai budaya dalam masyarakat.

“Penganjurannya bukan sekadar acara, tetapi satu usaha menggarap idea kreatif dan inovatif dan diterjemahkan kepada projek yang praktikal.

“Ia bagi mempertingkatkan kualiti hidup, pembangunan dan kesejahteraan rakyat khususnya warga Selangor,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian program di sini, petang ini.

Mohamed Azmin berkata, budaya kreatif dan inovatif harus disemai dalam kalangan masyarakat bermula di bangku sekolah.

Beliau berkata, pelaksanaannya bagi membolehkan golongan belia terlibat sama dalam memberi sumbang saran dan idea kreatif kepada kemajuan negeri untuk tempoh akan datang.

“Semoga kejayaan dan pengiktirafan ini menjadi pendorong untuk terus menghasilkan idea lebih kreatif dan inovatif dalam masyarakat,” katanya.

Terdahulu, penganjuran Majlis Apresiasi Inovasi membuka peluang kepada penjawat awam, swasta dan penuntut institut pengajian tinggi menghasilkan produk dan idea secara kreatif.

Penghasilannya dijayakan secara konsisten dalam usaha membangunkan Selangor sebagai sebuah negeri maju dengan berteraskan penggunaan teklonogi pintar, kreatif dan inovatif.

Dalam pembudayaan inovasi di Negeri Selangor, Bahagian Korporat selaku penyelaras inovasi negeri telah menyediakan pelbagai platform bagi pengembangan idea kreatif dan inovatif rakyat.

Lembaga Urus Air Selangor telah menggondoli dua anugerah utama yang dipertandingkan melalui pengurusan projek dan sumber air yang berkesan di Negeri Selangor.

Sementara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya turut mendominasi beberapa anugerah menerusi projek Green Hut, Ezytrap dan Sistem Arces v.2.0.

=EZY=

Categories
SELANGOR

MB: “Ambil iktibar kejatuhan Kodak & IBM, laksanakan inovasi”

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 NOV: Warga perkhidmatan awam patut mengambil iktibar kejatuhan syarikat gergasi antarabangsa Kodak dan IBM agar penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal relevan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkat kegagalan bergerak selari dengan tuntutan zaman menyaksikan syarikat Kodak dan IBM jauh di belakang syarikat seperti Apple, Microsoft dan Samsung.

MB AzminKatanya, perkhidmatan awam patut membina persekitaran berteraskan inovasi dan menyuburkan percambahan idea kreatif serta inovatif bagi memperkasakan perkhidmatan lebih berdaya saing.

“Ia bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kekal relevan dan seterusnya membangunkan negeri dan negara yang berdaya maju,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Inovasi Pertadibran Kerajaan Selangor 2014 di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, dalam usaha menyempurnakan agenda Negeri Pembangunan, aspek inovasi patut berteraskan kepedulian terhadap menyelesaikan permasalahan rakyat.

Katanya, ia dapat dilaksanakan dengan menetapkan perancangan dengan menyeluruh, struktur lebih teratur dan menepati kehendak serta harapan rakyat.

“Limpahan kebaikan daripada dasar Kerajaan Negeri ini harus dinikmati sehingga ke akar umbi.

“Kecanggihan dan kehebatan teknologi maklumat ini serta percambahan idea kreatif dan inovatif seharusnya tertumpu menjalin perhubungan dan menggerakkan mobiliti sosial rakyat,” katanya.

Beliau berkata, jurang desa dan bandar perlu dirapatkan bagi membolehkan rakyat pelbagai latar keluar daripada kesempitan hidup bagi menikmati kehidupan selesa.

“Pentadbiran baru ini memberi jaminan keseluruhan jentera kerajaan digembleng dan dijuruskan kepada usaha meningkatkan taraf kehidupan rakyat,” katanya.

EZY