Categories
AGENDA NASIONAL

Kuis terima lebih 1,500 pelajar baharu sesi Julai

SHAH ALAM, 2 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menerima kemasukan lebih 1,500 pelajar baharu bagi sesi Julai tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu membuktikan komitmen tinggi institusi berkenaan dalam memperjuang dan memartabatkan pendidikan di negeri ini.

“Semasa negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, institusi pengajian tinggi (IPT) berhadapan dengan pelbagai cabaran dan seharusnya Kuis mengambil iktibar daripada keadaan ini.

“Saya percaya, di sebalik ujian dihadapi pasti ada hikmahnya tersendiri. Tahniah diucapkan kepada pengurusan dan seluruh warga Kuis kerana terus komited mendepani cabaran yang datang,” katanya menerusi video sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun institusi itu semalam.

Amirudin juga berkata ramai graduan universiti itu mula berkhidmat serta menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang di seluruh negara.

“Mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lepasan IPT lain hasil daripada kualiti pendidikan yang disemai di Kuis.

“Sebagai sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa, Kuis seharusnya mengekalkan potensi dan kualiti bagi memenuhi harapan negeri menjadi sebuah gedung ilmu selaras moto Kuis ‘pemangkin tradisi ilmu’.”