Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kuis sasar 3,000 pelajar baharu sesi Jun 2021

SHAH ALAM, 5 MAC: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menyasar kemasukan 3,000 pelajar baharu bagi sesi pengambilan Jun tahun ini.

Rektornya memaklumkan sebanyak 85 program pengajian ditawarkan di peringkat asasi, diploma, ijazah sarjana muda, pascasiswazah dan separuh masa.

Prof Dato’ Ab Halim Tamuri berkata bahagian pemasaran universiti juga giat mempromosi program melalui media sosial bagi mencapai sasaran pendaftaran pelajar.

“Jumlah pelajar baharu agak kurang tahun lalu susulan pandemik Covid-19 namun saya percaya kali ini akan ada peningkatan signifikan,” katanya ketika dihubungi.

Ab Halim juga yakin ramai ibu bapa pelajar khususnya yang sedang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia menjadikan Kuis sebagai pilihan untuk menyambung pengajian.

Pelajar yang berminat boleh mendaftar melalui http://onlineapp2.kuis.edu.my:8080/onlineapp/default.jsp.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kuis terima lebih 1,500 pelajar baharu sesi Julai

SHAH ALAM, 2 OKT: Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis) menerima kemasukan lebih 1,500 pelajar baharu bagi sesi Julai tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu membuktikan komitmen tinggi institusi berkenaan dalam memperjuang dan memartabatkan pendidikan di negeri ini.

“Semasa negara berhadapan dengan pandemik Covid-19, institusi pengajian tinggi (IPT) berhadapan dengan pelbagai cabaran dan seharusnya Kuis mengambil iktibar daripada keadaan ini.

“Saya percaya, di sebalik ujian dihadapi pasti ada hikmahnya tersendiri. Tahniah diucapkan kepada pengurusan dan seluruh warga Kuis kerana terus komited mendepani cabaran yang datang,” katanya menerusi video sempena Majlis Sambutan Jubli Perak 25 Tahun institusi itu semalam.

Amirudin juga berkata ramai graduan universiti itu mula berkhidmat serta menyumbang kepakaran dalam pelbagai bidang di seluruh negara.

“Mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lepasan IPT lain hasil daripada kualiti pendidikan yang disemai di Kuis.

“Sebagai sebuah universiti yang bertaraf antarabangsa, Kuis seharusnya mengekalkan potensi dan kualiti bagi memenuhi harapan negeri menjadi sebuah gedung ilmu selaras moto Kuis ‘pemangkin tradisi ilmu’.”

Categories
AGENDA NASIONAL PENDIDIKAN

Daftar pelajar baharu USIM secara dalam talian

SEREMBAN, 3 OKT: Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menangguhkan kemasukan pelajar ke kampus itu secara fizikal atau bersemuka susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 di negara ini.

Naib Canselornya Profesor Dr Mohamed Ridza Wahiddin berkata justeru, pendaftaran pelajar baharu bagi sesi 2020/2021 dalam semua peringkat pengajian dilakukan secara dalam talian sepenuhnya.

“Kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik tersebut dan pelajar sedia ada ke kampus juga ditangguhkan ke tarikh dimaklumkan kelak.

“Sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) bagi pelajar baharu dan pelajar sedia ada pula dilaksanakan secara dalam talian pada tarikh dimaklumkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata bagi pelajar yang berada di kampus, mereka boleh kekal berada di kampus atau kolej kediaman sehingga pemakluman baharu dikeluarkan bagi mengelak penularan pandemik Covid-19.

Jelasnya, sebarang program atau aktiviti yang melibatkan himpunan dalam kampus turut ditangguhkan pada tarikh diberitahu kemudian.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Unisel sasar daftar 3,000 pelajar baharu

SHAH ALAM, 12 JUN: Universiti Selangor (Unisel) menyasarkan 3,000 pelajar baharu bagi kemasukan sesi Julai-Ogos 2020 bagi Tahun Asas, Diploma dan Ijazah Sarjana Muda, kata pengarah komunikasi korporatnya.

Hasril Abu Hassan berkata ia berikutan sambutan baik pelajar dan ibu bapa yang memberi pelbagai maklum balas positif walaupun terdapat kekangan dari beberapa aspek susulan Covid-19.

“Alhamdulillah walaupun kita berada dalam situasi pandemik, sambutan kelas dalam talian sangat baik walau pada mulanya agak sukar.

“Namun, pensyarah dan pelajar memberi komitmen tinggi untuk memastikan kesemua kelas berkaitan berjalan lancar. Malah, pelajar baharu bagi kemasukan sebelum ini juga menerima kaedah pembelajaran dengan baik,” katanya kepada SelangorKini.

Kepada pelajar yang berminat untuk mengikuti pengajian di Unisel boleh mendaftar di laman sesawang rasmi www.unisel.edu.my atau hubungi 03-5522 3400 / 018-571 4084 / 018-571 4087.