Categories
AGENDA NASIONAL

Ops Benteng fokus usir berbanding tangkapan – menteri

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ops Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin yang melepasi kawasan sempadan negara berbanding tangkapan sebelum ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pihak berkuasa mengambil pendekatan tersebut memandangkan antara punca peningkatan kes Covid-19 dalam negara terutamanya di pantai timur Sabah adalah disebabkan tahanan yang positif menjangkiti tahanan lain.

“Kita tahu salah satu punca meningkatnya Covid-19 di negara khususnya di pantai timur Sabah apabila pendatang tanpa izin ditahan dan bercampur dengan tahanan lain, akhirnya menjangkiti tahanan lain sehingga virus itu merebak sampai ke luar (tahanan).

“Jadi sekarang, kita membuat keputusan dari segi Ops Benteng, kita halau dan usir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan negara kita. Apabila mereka melepasi kawasan sempadan, kita tahan mereka dan begitu juga bagi tahanan di sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi Ops Benteng, sejumlah 27 pendatang tanpa izin ditahan dan lapan kenderaan darat dirampas, semalam.

-BERNAMA