Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Sidang DNS: 1,200 individu disaring mulai esok

SHAH ALAM, 24 OKT: Sekurang-kurangnya 1,200 individu akan menjalani saringan Covid-19 bermula esok bagi memastikan kelancaran sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) yang dijadualkan pada 30 Oktober ini.

Speaker, Ng Suee Lim berkata saringan membabitkan wakil rakyat, pegawai, petugas dan pengamal media yang terlibat.

“Saringan ini juga dilakukan disebabkan penularan beberapa kluster tempatan di Selangor dan telah diisytihar di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Hanya mereka yang disahkan negatif sahaja boleh menghadiri persidangan berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Saringan akan dilakukan selama dua hari bermula esok hingga Isnin (26 Oktober) di Bangunan SUK, Shah Alam.

Pada 7 Julai lalu, Kerajaan Negeri turut menjalankan saringan yang sama terhadap individu yang menghadiri sidang DNS pada 13 Julai.