Categories
AGENDA NASIONAL

Ops Benteng fokus usir berbanding tangkapan – menteri

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ops Benteng kini memberi fokus kepada pendekatan pengusiran terhadap pendatang tanpa izin yang melepasi kawasan sempadan negara berbanding tangkapan sebelum ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata pihak berkuasa mengambil pendekatan tersebut memandangkan antara punca peningkatan kes Covid-19 dalam negara terutamanya di pantai timur Sabah adalah disebabkan tahanan yang positif menjangkiti tahanan lain.

“Kita tahu salah satu punca meningkatnya Covid-19 di negara khususnya di pantai timur Sabah apabila pendatang tanpa izin ditahan dan bercampur dengan tahanan lain, akhirnya menjangkiti tahanan lain sehingga virus itu merebak sampai ke luar (tahanan).

“Jadi sekarang, kita membuat keputusan dari segi Ops Benteng, kita halau dan usir mereka sebelum memasuki kawasan sempadan negara kita. Apabila mereka melepasi kawasan sempadan, kita tahan mereka dan begitu juga bagi tahanan di sekatan jalan raya,” katanya pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan di Wisma Pertahanan, di sini hari ini.

Beliau berkata menerusi Ops Benteng, sejumlah 27 pendatang tanpa izin ditahan dan lapan kenderaan darat dirampas, semalam.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Ops Benteng: 88 pendatang asing, empat tekong, seorang penyeludup ditahan

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Seramai 88 pendatang tanpa izin, empat orang tekong dan seorang penyeludup ditahan dalam Operasi Benteng ketika cuba menyusup masuk kedalam negara semalam, manakala lapan kenderaan darat turut dirampas dalam operasi itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata 82 sekatan jalan raya dilaksanakan dalam operasi berkenaan, yang melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Beliau berkata semalam juga menyaksikan seramai 101 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), dengan 86 individu dikompaun, manakala 15 lagi direman.

Dalam satu kenyataan mengenai perkembangan PKPP di sini hari ini beliau berkata kesalahan paling tinggi yang dikesan ialah tidak memakai pelitup muka yang melibatkan 26 individu, diikuti 24 individu ingkar perintah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), dan 19 berkaitan penjarakan fizikal.

Sementara itu Ismail Sabri berkata sejak 24 Julai hingga semalam, 30,314 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 69 hotel serta lapan premis lain termasuk Institut Latihan Awam (ILA) serta Institusi Pengajian Swasta.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 9,350 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, dan 20,893 individu lagi telah didiscaj dan dibenarkan pulang.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) juga telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 680 premis perniagaan termasuk peruncit (481), pemborong (170) dan pengilang (29).

“Pegawai penguatkuasa KPDNEHP juga telah melakukan 1,225 pemeriksaan khas pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) PKPP dan mendapati 1,216 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala sembilan premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

PKPP: Masih ramai ingkar jarak fizikal, tidak pakai pelitup muka

KUALA LUMPUR, 6 SEPT: Tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal adalah antara kesalahan masih banyak dilakukan orang ramai walaupun ia antara tatacara operasi piawai diwajibkan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Ia terbukti apabila daripada 131 tangkapan dibuat kerana ingkar PKPP semalam, dua kesalahan tersebut mencatat jumlah paling ramai ditahan iaitu 73 (aktiviti yang menyukarkan penjarakan fizikal) dan 31 lagi tidak memakai pelitup muka

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kesalahan lain ialah gagal menyediakan peralatan/catatan keluar masuk (20), langgar perintah kuarantin (2), premis beroperasi lebih masa (4) dan premis beroperasi tanpa lesen perniagaan (1).

“Bagi Operasi Benteng pula, seramai 67 pendatang tanpa izin dan empat tekong ditahan semalam kerana cuba memasuki negara ini secara haram melalui lorong-lorong tikus.

“Operasi turut membuat rampasan melibatkan satu bot dan empat kenderaan darat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata bagi kuarantin wajib sejak 24 Julai sehingga semalam, seramai 23,590 individu dari 32 negara telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa.

Beliau berkata mereka ditempatkan di 68 hotel dan empat Institut Latihan Awam (ILA) serta institusi pengajian swasta di seluruh negara.

“Daripada jumlah itu, seramai 9,162 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 66 individu dihantar ke hospital untuk rawatan, manakala 14,362 lagi individu telah didiscaj dan dibenarkan pulang,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sejak 30 Mac, sebanyak 9,849 operasi sanitasi awam merangkumi 134 zon dilaksanakan melibatkan 12,965 premis yang terdiri 2,706 pusat perniagaan, 5,703 bangunan kerajaan, 1,596 kawasan perumahan termasuk Projek Perumahan Rakyat (PPR), 2,606 tempat awam dan 354 pasar raya.

-BERNAMA