Categories
AGENSI SELANGOR

PWB tekad perbanyak program, bantu wanita tambah pendapatan

SHAH ALAM, 31 OKT: Pusat Wanita Berdaya (PWB) Sungai Kandis bertekad mahu memperbanyakkan program atau bengkel bagi membantu meningkatkan pendapatan wanita terutama yang terkesan susulan Covid-19.

Penyelianya Roslida Udin berkata peruntukan RM3 juta yang akan disalurkan Kerajaan Negeri kepada PWB Selangor tahun hadapan membolehkan pelaksanaan aktiviti pembangunan ekonomi Hab Wanita Berdaya.

“Hab ini akan dibangunkan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi tumpuan aktiviti ekonomi serta pembangunan usahawan wanita,” katanya dalam kenyataan.

Roslida berkata pihaknya juga berbesar hati dengan penganjuran Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) yang bakal diteruskan tahun hadapan.

“Saya percaya produk peserta golongan suri rumah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan peserta PWB dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyambut baik belanjawan tersebut yang memberi penekanan terhadap pelbagai golongan khususnya wanita dalam menghadapi cabaran Covid-19 selain memberi dampak positif terhadap perkembangan sosial dan ekonomi rakyat.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan peruntukan keseluruhan RM2.3 bilion dan daripada jumlah itu sebanyak RM71.3 juta diperuntukkan bagi meneruskan agenda memperkasa wanita serta keluarga.