Categories
AGENSI SELANGOR

PWB tekad perbanyak program, bantu wanita tambah pendapatan

SHAH ALAM, 31 OKT: Pusat Wanita Berdaya (PWB) Sungai Kandis bertekad mahu memperbanyakkan program atau bengkel bagi membantu meningkatkan pendapatan wanita terutama yang terkesan susulan Covid-19.

Penyelianya Roslida Udin berkata peruntukan RM3 juta yang akan disalurkan Kerajaan Negeri kepada PWB Selangor tahun hadapan membolehkan pelaksanaan aktiviti pembangunan ekonomi Hab Wanita Berdaya.

“Hab ini akan dibangunkan dengan kerjasama strategik pelbagai agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi tumpuan aktiviti ekonomi serta pembangunan usahawan wanita,” katanya dalam kenyataan.

Roslida berkata pihaknya juga berbesar hati dengan penganjuran Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) yang bakal diteruskan tahun hadapan.

“Saya percaya produk peserta golongan suri rumah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40), ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU) dan peserta PWB dapat diketengahkan ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau turut menyambut baik belanjawan tersebut yang memberi penekanan terhadap pelbagai golongan khususnya wanita dalam menghadapi cabaran Covid-19 selain memberi dampak positif terhadap perkembangan sosial dan ekonomi rakyat.

Semalam Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari membentangkan Belanjawan Selangor 2021 dengan peruntukan keseluruhan RM2.3 bilion dan daripada jumlah itu sebanyak RM71.3 juta diperuntukkan bagi meneruskan agenda memperkasa wanita serta keluarga.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

IWB, PWB berjaya tingkat pendapatan wanita – Amirudin

SHAH ALAM, 7 MAC: Program pemberdayaan wanita Selangor menerusi Institut Wanita Berdaya (IWB) dan Pusat Wanita Berdaya (PWB) berjaya meningkatkan pendapatan golongan tersebut, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata golongan wanita di negeri ini diberi latihan dalam pelbagai bidang kemahiran berpotensi besar termasuk kerja yang boleh dilakukan di rumah.

“Dahulu seramai 40,000 wanita atau ibu menerima bantuan bulanan RM200 menerusi Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) tetapi selepas penjajaran penerima KISS berjaya dikurangkan kepada 20,000.

“Amalan belas kasihan seperti memberi wang perlu ditukar kepada memberdaya wanita kerana tidak mungkin kita boleh memberi bantuan untuk selama-lamanya,” katanya selepas menghadiri Ekspo Hasil Suri Selangor di Pusat Konvensyem Shah Alam (SACC) hari ini.

Sementara itu, Amirudin berkata Selangor berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran penglibatan 30 peratus wanita sebagai pembuat keputusan dalam pelbagai peringkat.

“Ia dibuktikan apabila pentadbiran negeri mempunyai 30 peratus wanita sebagai EXCO dan saya yakin angka ini akan dicapai dalam semua peringkat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pemeriksaan awal boleh cegah kanser payudara kritikal

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAPAR, 20 NOV: Pemeriksaan awal dapat mengurangkan risiko kanser payudara mencapai peringkat kritikal, sekali gus menepis stigma masyarakat kanser adalah hukuman mati.

Ketua Saringan Klinikal Kanser dan Kesihatan, Dr Dalilah Kamaruddin berkata, walaupun kanser adalah pembunuh utama, tetapi masih terdapat cara terbaik mencegahnya, jika wanita itu sentiasa peka melakukan saringan awal.

“Peluang untuk hidup adalah lebih 90 peratus kalau kita cegah seawal peringkat pertama, sebaliknya jika ia dikesan di peringkat lewat, maka peluang untuk diselamatkan adalah kurang 25 peratus.

“Malah, 60 peratus daripada mereka yang mengalami kes kanser, di Malaysia melakukan rawatan apabila berada di peringkat tiga dan empat, namun ia sudah terlambat yang akhirnya meninggal dunia,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Kursus Keusahawanan dan Kesihatan anjuran Pusat Berdaya Wanita (PWB) DUN Meru serta Sementa, di Hotel Grand Kapar, di sini, hari ini.

Program itu memberi ruang kepada wanita memperbaiki taraf hidup ke arah lebih baik melalui pengurusan kewangan yang betul, selain meningkatkan pengetahuan berhubung kepentingan penjagaan kesihatan, khususnya kanser.

Mengulas lanjut, Dr Dalilah berkata, serangan kanser berkenaan di Malaysia terus menunjukkan peningkatan ketara dalam kalangan wanita ekoran tiada ‘push factor’ daripada individu itu sendiri.

Malah katanya, masih terdapat ramai wanita terutama mereka yang tinggal di kawasan pinggir bandar kurang mendapat kesedaran mengenai tanda awal serangan kanser payudara sehingga ia merebak ke tahap bahaya.

“Jadi, saya menyarankan supaya mereka meluaskan pemikiran dengan menimba pengetahuan yang betul mengenai kanser kerana ramai antara kita yang sekadar mendengar khabar angin pihak tertentu mengatakan kanser itu berpunca daripada virus.

“Kanser boleh dicegah kalau mereka berani tampil untuk membuat pemeriksaan peringkat awal dan tidak semua kanser itu ‘contagious’, cuma ada sesetengah kanser yang merebak secara virus,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

PWB: 60 wanita sertai Kursus Keusahawanan & Kesihatan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAPAR, 20 NOV: Seramai 60 wanita berpendapatan rendah, dari sekitar daerah Sementa dan Meru menyertai Kursus Keusahawanan serta Kesihatan di Grand Hotel Kapar, di sini, hari ini.

Program selama sehari anjuran Pusat Berdaya Wanita (PWB) dari kedua DUN itu bertujuan membantu menjana pendapatan golongan terbabit.

Penyelia PWB DUN Meru, Aniss Zuryanee Mahadi berkata, kursus yang julung kali diadakan membabitkan dua kawasan itu menjadi landasan tepat untuk memberi kesedaran kepada wanita berhubung kepentingan menjaga kesihatan.

Katanya, mereka yang mahu berkecimpung dalam bidang keusahawanan perlu memiliki kesihatan yang baik bagi menjamin kualiti hidup sempurna.

“Kita memfokuskan untuk memberi pendedahan kepada mereka supaya dapat menitikberatkan kesihatan kerana apabila seseorang itu berjaya dengan kesihatan yang baik, mereka berpeluang meningkatkan pendapatan hasil titik peluh sendiri.

“Majoriti yang turut serta dalam program ini juga datang daripada keluarga berpendapatan rendah yang miskin bandar, malahan sebahagiannya adalah ibu tunggal dan tidak bekerja kerana perlu menguruskan keperluan keluarga,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Meru, Norlena Nayan berkata, pihaknya optimis melaksanakan pelbagai bentuk program bagi menggalakkan penyertaan wanita, khususnya di kawasan itu.

Katanya, program di bawah Skim Kesihatan Wanita seperti ‘Mamogram’ yang dikhaskan kepada wanita, di Selangor akan tetap diteruskan untuk memastikan kesihatan kaum itu terjaga dalam keadaan optimum.

“Peningkatan penyertaan program ini dilihat semakin bertambah dan maklum balas diterima juga amat positif kerana mereka diberi penjelasan secara terperinci mengenai penjagaan kesihatan.

“Saya berharap program seperti ini berterusan dan diperluaskan ke kawasan kampung atau pekan supaya mereka tidak ketinggalan dengan semua maklumat terkini mengenai perkara ini dapat,” katanya.