Categories
AGENDA SUKANKINI

Red Giants teruskan latihan seperti biasa, ikut SOP MKN

SHAH ALAM, 15 OKT: Selangor meneruskan sesi latihan seperti biasa di Pusat Latihan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Seksyen 5, di sini sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP).

Setiausaha agungnya berkata sesi latihan mengikut tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tanpa melibatkan corak latihan secara perlawanan (sparring).

“Seperti dilalui semasa PKPB beberapa bulan lepas, sesi latihan dibenarkan dengan had sepuluh pemain ke bawah dalam satu kumpulan tanpa sentuhan badan,” kata Dr Johan Kamal Hamidon ketika dihubungi.

Beliau turut mengingatkan kesemua pemain supaya tidak mengunjungi mana-mana tempat sesak sepanjang PKPB bagi melindungi mereka daripada risiko jangkitan Covid-19.

“Kita memang selalu berpesan kepada pemain malah sudah mengeluarkan notis beberapa kali supaya elakkan daripada (mengunjungi) tempat-tempat tersebut,” katanya.

Kelmarin, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan aktiviti sukan tidak bersentuhan dan program latihan berpusat bagi atlet masih dibenarkan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya yang dikenakan PKPB berkuat kuasa semalam.

Menurutnya aktiviti sukan secara individu, e-sukan, sukan yang tidak bersentuhan dan sukan di kawasan terbuka yang tidak melebihi sepuluh orang adalah dibenarkan.

Sementara itu, KBS menerusi kenyataan menjelaskan bahawa aktiviti seperti berjalan, ‘jogging’, berbasikal, senamrobik kendiri dan lain-lain yang dilakukan di kawasan terbuka antara yang dibenarkan kepada orang ramai di kawasan berkaitan.