OLEH NUR ASYIKIN AMINUDDIN
*Artikel ini dibawa oleh Fomca dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Selangor
Bermula dari tahun 2011, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) merasakan bahawa literasi kewangan harus diberikan keutamaan di dalam agenda nasional. Maka bulan Oktober adalah sebagai Bulan Literasi Kewangan, di mana kami menggalakkan setiap pengguna harus menilai tahap kewangan mereka dan perlu mengetahui langkah-langkah untuk menguruskan perancangan kewangan dan meningkatkan kemampuan pengurusan kewangan mereka.
Data mengenai tingkah laku kewangan pengguna di Malaysia begitu membimbangkan. Sebanyak enam juta pekerja di kawasan bandar memperoleh gaji di bawah tangga gaji yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia yang ditakrifkan sebagai gaji minimum oleh pengguna untuk menjalani taraf hidup yang bersesuaian. Malah, simpanan mereka juga rendah. Dilaporkan bahawa 88 peratus isi rumah di Malaysia tidak mempunyai simpanan, sementara 62 peratus pengguna dilaporkan tidak mempunyai simpanan cukup.
Hutang isi rumah rakyat Malaysia juga adalah tinggi. Pada 2019, hutang isi rumah keluaran dalam negara kasar (KDNK) adalah sebanyak 82.7 peratus. Hutang isi rumah yang tinggi akan menyebabkan isi rumah lebih mudah terdedah kepada kejutan kewangan. Pada peringkat mikro, 47 peratus pengguna di Malaysia diklasifikasikan sebagai mempunyai hutang yang banyak, di mana pembayaran hutang mereka adalah lebih daripada 30 peratus daripada pendapatan mereka.
Belanja melebihi pendapatan
Seterusnya, satu kajian terhadap pekerja muda melaporkan bahawa sebanyak 37 peratus daripada mereka berbelanja lebih daripada apa yang mereka perolehi. Pengguna di Malaysia mempunyai pendapatan yang rendah, simpanan yang rendah dan hutang yang tinggi.
Dari segi literasi kewangan, rakyat Malaysia mempunyai skor yang agak rendah. Melalui tinjauan global mengenai literasi kewangan, rakyat Malaysia memperoleh 36 peratus, berbanding 59 peratus di negara maju. Hanya 28 peratus pengguna melaporkan bahawa mereka mempunyai keyakinan terhadap kemahiran pengurusan kewangan mereka sementara hanya 31 peratus melaporkan bahawa mereka mempunyai keyakinan dalam menangani produk kewangan. Dilaporkan juga bahawa 70 peratus rakyat Malaysia memerlukan program pendidikan kewangan.
Wabak Covid-19 ini bukan sahaja memberi kesan terhadap krisis kesihatan tetapi juga krisis ekonomi. Dua statistik yang sangat membimbangkan adalah sejumlah 52 peratus pengguna di Malaysia didapati sukar untuk memperoleh RM 1,000 dalam menghadapi sebarang kecemasan kewangan dan hanya 24 peratus pengguna di Malaysia mempunyai simpanan yang mencukupi untuk perbelanjaan lebih daripada tiga bulan sekiranya mereka kehilangan atau terjejas sumber pendapatan. Terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan mereka berkurangan, wabak pandemik ini akan memberi impak yang negatif yang menjejaskan kualiti hidup mereka.
Celik kendali kewangan
Secara jelasnya, pendidikan kewangan harus diberi keutamaan dalam perancangan pembangunan negara. Malaysia mempunyai Strategi Nasional untuk Literasi Kewangan. Pengguna, terutama dalam kalangan pekerja muda sangat penting untuk memiliki akses yang lebih luas kepada program pendidikan kewangan untuk memperkasakan mereka dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang agak mencabar di dunia yang realiti.
Objektif utama program literasi kewangan adalah untuk memperkasakan pengguna melalui pengetahuan dan kemahiran mengenai langkah-langkah yang dapat mereka lakukan dalam perancangan dan pengurusan kewangan mereka dengan lebih baik dan memberi mereka pengetahuan dalam membeli produk dan perkhidmatan kewangan.
Untuk meningkatkan kemahiran merancang dan mengurus kewangan mereka, pengguna perlu memulakan dengan mengetahui perbelanjaan yang sebenar untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang bagaimana mereka sepatutnya membelanjakan wang mereka.
Kemudian pengguna juga dapat membuat penilaian kendiri jika mereka berbelanja dengan tepat, mempunyai simpanan yang mencukupi dan melakukan pembayaran hutang tepat pada waktunya. Terdapat pelbagai aplikasi yang boleh digunakan oleh pengguna untuk menilai tahap kewangan mereka.
Seterusnya, pengguna juga perlu mempunyai matlamat kewangan yang jelas, iaitu matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Aspek penting dalam matlamat kewangan jangka pendek ialah seperti kemampuan untuk mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi manakala matlamat jangka panjang adalah seperti pendidikan anak-anak dan persaraan mereka.
Dengan adanya matlamat kewangan ini, anggaran/bajet bulanan dapat dilakukan. Terdapat satu kajian menunjukkan kurang daripada 28 peratus pengguna membuat penyediaan bajet anggaran, maka pengguna perlu berusaha untuk sentiasa memantau perbelanjaan sebenar dan membandingkannya dengan bajet perbelanjaan yang telah dianggarkan.
Oleh itu, langkah-langkah yang sesuai perlu diambil untuk menjadi pengguna yang lebih berhati-hati untuk memastikan pengguna sentiasa mematuhi bajet yang telah dibuat.
Nilai semula hutang
Langkah yang ketiga adalah pengguna perlu membuat penilaian hutang; di mana hutang mereka perlu berada pada tahap yang wajar, biasanya kurang daripada 30 peratus pendapatan pengguna. Seterusnya, kesemua hutang dengan faedah yang tinggi, seperti hutang kad kredit, perlu dilunaskan secepat mungkin kerana hutang kad kredit adalah salah satu penyebab terbesar masalah kewangan akan menjadi lebih serius, pengguna perlu menguruskan hutang dengan tegas.
Pada masa kini, pengguna sangat beruntung kerana terdapat banyak laman sesawang dan aplikasi di Malaysia yang memberikan maklumat dan nasihat kewangan yang baik mengenai amalan perancangan dan pengurusan kewangan serta produk kewangan seperti pelaburan, amanah saham, insurans dan harta tanah.
Pengguna akan mendapat banyak manfaat dengan menggunakan laman sesawang dan aplikasi ini untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran kewangan mereka. Pengguna dapat memperkasakan diri mereka dengan pengetahuan yang cukup lengkap sebelum besemuka dengan penjual produk kewangan, Malah dengan adanya pengetahuan yang tinggi mengenai produk kewangan, pengguna dapat membuat keputusan kewangan yang lebih tepat di dalam hidup mereka tanpa perlu menanggung beban kewangan yang tinggi.
Di dalam keadaan yang mencabar ini, pengguna perlu mengambil inisiatif untuk memperkasakan diri mereka dengan mengambil langkah-langkah yang positif dalam perancangan dan pengurusan kewangan, dan yang paling penting adalah untuk menimba pengetahuan bagi membuat keputusan yang tepat dalam berinteraksi dengan pasaran untuk produk dan perkhidmatan kewangan.