Categories
AGENDA NASIONAL

Individu hilang kerja boleh keluar simpanan Akaun 1 KWSP

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi membantu individu yang hilang pekerjaan dan meringankan beban kewangan 600,000 ahli terjejas.

“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan pengeluaran Akaun 1, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai ialah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran akaun satu melibatkan RM4 bilion. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

KWSP memperkenalkan i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan yang memanfaatkan 4.7 juta individu.