Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Belanja mengurus lebih 70 peratus tidak tepati aspirasi rakyat

HULU LANGAT, 7 NOV: Peruntukan lebih 70 peratus bagi perbelanjaan mengurus dalam Belanjawan 2021 disifatkan tidak bertepatan dengan aspirasi rakyat yang mahukan lonjakan pemulihan ekonomi.

Dato’ Menteri Besar berkata belanjawan dibentangkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam tidak memberi respon kepada beberapa isu dibangkitkan rakyat dan berbeza dengan Belanjawan Selangor 2021 memperuntukkan 47 peratus bagi aspek pembangunan.

“Sebaliknya di peringkat Persekutuan, mereka meletakkan hanya 21 peratus untuk tujuan tersebut dan selebihnya bagi perbelanjaan mengurus.

“Justeru, di samping kritikan wakil pembangkang dalam sidang Dewan Negeri Selangor, kita melihat belanjawan Persekutuan tidak menterjemahkan perkara berhubung pemulihan ekonomi,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari kepada media selepas program lawatan pasca banjir di Taman Sri Nanding di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau melihat tiada peruntukan khusus bagi sektor aeroangkasa di Selangor yang seharusnya diberi tumpuan kerana ia menjanjikan peluang pekerjaan kepada rakyat.

Menurutnya, peruntukan tersebut penting bagi meningkatkan kedayatahanan industri berkenaan yang ketika ini berdepan situasi sukar akibat penularan pandemik Covid-19.

“Kita sememangnya memerlukan sokongan untuk sektor tersebut kerana melibatkan tenaga kerja yang ramai malah menjadi kegiatan penting kepada negara amnya dan Selangor khususnya.

“Saya perlu lihat kembali apakah ada sokongan kepada sektor ini supaya mereka (penggiat industri) mampu bertahan dan keluar daripada masalah kemelesetan akibat Covid-19,” katanya.

Semalam, Tengku Zafrul mengumumkan RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Daripada jumlah itu, RM236.5 billion (73.3 peratus) adalah untuk perbelanjaan mengurus dan RM69 billion (21.4 peratus) bagi perbelanjaan pembangunan manakala baki RM17 bilion untuk Kumpulan Wang Covid-19.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Caruman KWSP sembilan peratus mulai Januari 2021

SHAH ALAM, 6 NOV: Kadar caruman minimum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikurangkan daripada 11 kepada sembilan peratus mulai Januari tahun depan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi meningkatkan pendapatan boleh guna dalam tempoh 12 bulan.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

Kadar caruman berkanun syer pekerja beberapa kali diturunkan sebelum ini.

Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang dibentang pada 5 Mac mengumumkan kadar tersebut diturunkan daripada 11 kepada tujuh peratus berkuat kuasa April.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Individu hilang kerja boleh keluar simpanan Akaun 1 KWSP

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan mengumumkan kemudahan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) daripada Akaun 1 secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dalam tempoh 12 bulan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata langkah itu bagi membantu individu yang hilang pekerjaan dan meringankan beban kewangan 600,000 ahli terjejas.

“Mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestari dan pengeluaran Akaun 1, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai ialah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran akaun satu melibatkan RM4 bilion. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2021 hari ini.

KWSP memperkenalkan i-Lestari pada April yang membenarkan ahli membuat pengeluaran RM500 sebulan selama 12 bulan yang memanfaatkan 4.7 juta individu.