Categories
AGENDA NASIONAL

Pencemar guna tandas lepas sisa kimia punca pencemaran air – EXCO (VIDEO)

SHAH ALAM, 11 NOV: Tandas di premis Taman Velox disyaki menjadi tempat buangan sisa kimia sehingga menyebabkan loji kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) di situ tercemar, kata EXCO alam sekitar.

Katanya premis terletak 700 meter dari IWK Taman Velox itu berjaya dikesan Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Jabatan Alam Sekitar (Jas) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menerusi operasi bersepadu semalam.

“Hasil siasatan mendapati premis itu menjadi stor simpanan sisa buangan berjadual, dan menggunakan tandas sebagai tempat buangan sisa tersebut kerana menjumpai hos. Tetapi tak dapat membuat tangkapan individu terlibat.

Premis disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Volex, Rawang sehingga menyebabkan pencemaran di Sungai Selangor disita Majlis Perbandaran Selayang awal pagi 11 November 2020. Gambar: LUAS

“Bagaimanapun, polis sudah mengenalpasti tuan punya premis dan mereka akan buat tangkapan serta siasatan lanjut,” kata Hee Loy Sian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Dewan Negeri Bukit Gasing, Rajiv Rishyakaran pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Namun Loy Sian kecewa apabila Kerajaan Negeri dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) tidak dimaklumkan berhubung kejadian loji IWK Taman Velox dicemari sisa kimia sejak 4 November lalu.

Jelasnya, IWK hanya melaporkan perkara berkenaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

“Jika kita tahu lebih awal perkara ini, kita akan bertindak segera bagi mencari kilang atau premis yang lakukan pencemaran ini.

“Kita harap Kerajaan Persekutuan membantu Kerajaan Negeri kerana IWK berada di bawah Kementerian Kewangan, mereka perlu buat sesuatu kerana ini sudah kali keempat (pencemaran) berlaku di IWK.

Pekerja Indah Water Konsortium (IWK) melihat lokasi disyaki berlaku pencemaran bau di Sungai Selangor di loji kumbahan IWK di Taman Velox, Rawang, pada 10 November 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Ini amat malang, loji rawatan air terpaksa dihenti tugas dan menyebabkan orang Selangor tak dapat bekalan air,” katanya.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang, Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2 dan Fasa 3 ditutup jam 6 petang semalam susulan pencemaran bau seakan pelarut di Sungai Selangor.

Henti tugas memberi kesan gangguan air tidak berjadual kepada lebih 1.1 juta pemegang akaun di 1,279 kawasan sekitar Kuala Lumpur, Petaling, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat manakala bekalan air pulih bermula jam 3 petang.