Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Perangsang Selangor sumbang PPE kepada petugas kesihatan

KUALA LUMPUR, 12 NOV: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyumbang bekalan perubatan berupa peralatan perlindungan peribadi (PPE) kepada Klinik Kesihatan Kelana Jaya (KKKJ) di Kelana Jaya pada Khamis lepas.

Menurut kenyataan, kumpulan itu menyumbang PPE bernilai RM44,550 termasuk 20,000 pasang sarung tangan lateks pakai buang, 5,000 keping pelitup muka pembedahan, 200 unit pelindung muka, 245 liter pensanitasi tangan dan 188 set sut PPE serta 20 unit kerusi plastik dan tiga unit pengimbas suhu bagi menambah baik kemudahan di klinik itu.

Ketua KKKJ Dr Nik Mazlina Mohammad berkata sumbangan itu tepat pada masanya memandangkan peningkatan kes Covid-19 di Lembah Klang menyebabkan pertambahan permintaan PPE terutama bagi kakitangan yang bertugas di zon merah dan yang terlibat dalam kes kecemasan membabitkan pernafasan.

Pengarah Bersekutu, Perhubungan Pelabur dan Komunikasi Strategik KPS Mohd Fauzi Mohd Ghazali berkata ini merupakan tanggungjawab bersama antara KPS dengan anggota masyarakat.

“Diharapkan sumbangan kami akan membantu mengatasi isu kekurangan PPE kerana semua peralatan ini adalah barangan pakai buang yang penting dan digunakan setiap hari bagi ujian saringan jangkitan itu,” katanya.

Menurut kenyataan itu, KPS melalui inisiatif lestarinya memperuntukkan dana RM2 juta bagi menangani kesan ekonomi, alam sekitar dan sosial pemegang taruhnya terutama kepada anggota masyarakat.

Sementara inisiatif bagi tahun 2020 terdiri daripada empat tonggak utama iaitu Pembangunan Pendidikan, Pembangunan Keusahawanan, Pembangunan Masyarakat dan Alam Sekitar serta Keselamatan dan Kesihatan.

-BERNAMA