Categories
AGENSI SELANGOR

Team Selangor agih hampir 4,000 botol air minuman

SHAH ALAM, 12 NOV: Sukarelawan Team Selangor mengedarkan hampir 4,000 botol minuman lima liter kepada pengguna terjejas bekalan air di tiga wilayah semalam.

Ketua Sekretariat Syahaizel Keman berkata agihan dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meliputi Petaling, Klang dan Kuala Langat.

“Seramai 60 sukarelawan terdiri daripada 20 pelajar institusi pengajian tinggi dan 40 komuniti digerakkan bagi membantu kerja pengagihan bermula kira-kira jam 2 petang.

“Kita menyasarkan agihan kepada warga emas, keluarga yang mempunyai ahli terlantar sakit dan orang kelainan upaya (OKU), manakala Air Selangor memfokuskan kawasan berkepadatan tinggi seperti flat kos rendah serta Projek Perumahan Rakyat (PPR),” katanya ketika dihubungi.

Beliau turut menasihati pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan air supaya bersabar memandangkan proses pemulihan dibuat secara berperingkat.

“Kita akui rata-rata penerima mengharapkan bekalan segera pulih namun Team Selangor akan cuba bantu mengedarkan air sekiranya ada lagi kawasan yang belum pulih hari ini bergantung pada jumlah penyertaan sukarelawan,” katanya.

Pada 10 November, LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas berikutan pencemaran bau dikesan di Sungai Selangor sekali gus menjejaskan lebih 1.1 juta akaun pengguna.