Categories
AGENDA NASIONAL

Tourism Selangor: Guna industri kreatif promosi destinasi pelancongan

SHAH ALAM, 4 NOV: Tourism Selangor bercadang menjalin kerjasama dengan pemain industri kreatif bagi mempromosikan destinasi pelancongan sebagai lokasi penggambaran.

Pengurus Besar Azrul Shah Mohamad berkata produk pelancongan negeri ini sering menjadi pilihan penerbit filem dan program televisyen kerana keunikan dipaparkan di kawasan tersebut.

“Beberapa produk pelancongan Selangor menjadi lokasi utama penggambaran seperti Batu Caves, Kuala Kubu Bharu, Sekinchan, Litar Antarabangsa Sepang, Masjid Biru Shah Alam dan banyak lagi.

“Kita percaya sektor perfileman dan penggambaran program televisyen salah satu kaedah terbaik dalam mempromosi lokasi pelancongan di Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Azrul Shah berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi menyediakan kemudahan penggambaran di kawasan terpilih.

Menurutnya, kerjasama melibatkan aspek bantuan logistik serta teknikal seperti pengisian aktiviti pelancongan setempat yang mampu memberi nilai tambah.

“Selain itu, kita akan mengadakan sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan pertemuan melalui webinar bersama penggiat industri perfileman tempatan serta antarabangsa melalui kerjasama agensi pelancongan juga Tourism Malaysia mengikut pasaran di luar negara,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.85 juta tahun depan bagi pembangunan dan merancakkan kembali pelancongan di Selangor yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata potensi besar boleh dimanfaatkan daripada pelancongan kreatif dengan mengenal pasti lokasi yang menjanjikan peluang perfileman antarabangsa kepada penggiat seni.