Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pasar Seni Genta wajar diterus, didik masyarakat keunikan seni kreatif

SHAH ALAM, 27 FEB: Penganjuran Pasar Seni Genta menyuntik semangat seorang penggemar puisi untuk kembali aktif dalam penulisan karya.

Masyitah Syahirah Mustapha, 25, mengakui berhenti menulis puisi sejak pandemik Covid-19 bagi memberi fokus terhadap kerjaya sebagai pembantu penyelidik.

Masyitah Syahirah Mustapha. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Menurutnya, biarpun lebih 50 puisi ditulisnya sejak 2013 belum tersiar di mana-mana syarikat penerbitan, namun tidak menghalang minatnya untuk terus berkarya.

“Sejujurnya saya meminati dunia seni terutama penulisan puisi dan mengunjungi acara seni. Saya berharap program sebegini wajar diteruskan,” katanya ditemui di perkarangan Laman Budaya Tasik Shah Alam di sini hari ini.

Mengulas perancangan selepas kembali aktif dalam bidang itu, anak bongsu daripada dua beradik yang berasal dari Sabah bagaimanapun belum bersedia untuk menghantar karya puisi ke mana-mana syarikat penerbitan.

Natasya Eirdyna Hairulnizam. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Seorang lagi pengunjung Natasya Eirdyna Hairulnizam, 22, berkata minat mendalam terhadap bidang seni kreatif mendorongnya hadir ke acara berkenaan bersama dua rakan.

Pelajar semester kedua jurusan Association of Charted Certified Accounts (ACCA) dari Kolej Universiti KDU berkata program tersebut mendedahkannya terhadap keunikan dan kepelbagaian cabang seni kreatif.

“Sebelum ini saya beranggapan seni kreatif hanya lukisan semata-mata sebab saya suka melukis, tetapi sebenarnya skopnya sangat luas.

“Program sebegini sangat bagus kerana beri peluang kepada saya untuk lihat persembahan daripada kumpulan muzik dan pemuisi selain menyokong pempamer seni, kraf serta buku,” katanya.

Raihana Jasmine Jefree. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Raihana Jasmine Jefree, 25, pula mengakui gemar mengunjungi aktiviti santai selepas sudah lama tidak berbuat demikian atas faktor kekangan kerja.

“Saya tidak arif bab seni dan penulisan tetapi sejujurnya saya suka datang ke acara seperti ini dan melepak bersama kawan-kawan.

“Cuma saya berpandangan aktiviti seperti ini wajar dianjurkan dari semasa ke semasa serta mendedahkan kita dengan seni kreatif,” katanya

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19 didik penggiat seni jalani pengambaran jarak jauh

SHAH ALAM, 2 OKT: Pandemik Covid-19 menyebabkan penggiat seni terpaksa meneruskan pengambaran menggunakan kaedah jarak jauh.

Pengarah filem Nadiah Hamzah berkata pengambaran perlu diteruskan dengan mengikut jadual produksi dan perancangan ditetapkan oleh pelanggan.

“Kita cuba belajar pengambaran jarak jauh dengan memberi pelakon peralatan dan kita melihatnya menerusi aplikasi Zoom.

“Bagi produksi, kita bukan sahaja menjaga SOP (tatacara operasi piawai) dan penjarakan fizikal tetapi berhadapan dengan norma baharu dengan memastikan perjalanan jadual asal terus berjalan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi program borak santai ‘Apa khabar industri kreatif’ yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Media Selangor malam tadi.

Nadiah berkata pengambaran jarak jauh sudah pasti memberi kesan kepada teknologi sesebuah karya.

“Peralatan diberikan kepada pelakon dan tempoh pengambaran juga mengambil masa agak lama berbanding adanya krew produksi.

“Bagaimanapun pengambaran tersebut masih lagi boleh diuruskan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penggiat seni harap SOP penggambaran tidak sekat kebebasan berkarya

KUALA LUMPUR, 9 SEPT: Penggiat seni berharap agar pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dapat menggariskan prosedur operasi standard (SOP) di set penggambaran yang lebih fleksibel, dan tidak terlampau ‘rigid’ dengan kadar segera.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Ahmad Ibrahim berkata SOP seumpama itu penting agar tidak berlaku aspek penambahan kos dan tenaga kerja yang membebankan, selain menyekat kebebasan berkarya.

“Kami percaya SOP yang bakal dihasilkan ini tidak sama dengan SOP yang sedia ada dan diguna pakai sebelum ini.

“Mengenai SOP masa kini, ia agak ‘rigid’ dalam aspek kos dan penambahan tenaga kerja di lapangan dan banyak menyekat kebebasan penggambaran, terutama prasyarat Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) yang dikeluarkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) masa kini,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Ibrahim yang juga lebih dikenali sebagai ‘Mat London’ berkata kebenaran semula operasi penggambaran dapat menyemarak dan merancakkan kembali industri perfileman dengan momentum dan norma baharu, sekali gus memberi kelegaan kepada penggiat filem yang tertekan sejak sekian lama.

“FDAM berharap pelan pemulihan negara tidak mengetepikan sektor industri kreatif khususnya industri perfileman, agar ia lebih memberi pengertian dan membangun semula ke arah keceriaan dan berdaya maju,” katanya.

Selasa lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran prosedur SOP Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi industri kreatif, termasuk penggambaran industri kreatif di dalam dan luar studio serta aktiviti panggung wayang, yang dibenarkan beroperasi semula bermula hari ini.

Persetujuan untuk memberi kelonggaran ini adalah tertakluk kepada syarat SOP yang diluluskan oleh MKN, termasuk hanya kepada penggiat, pekerja dan pengguna yang sudah menerima dua dos lengkap vaksin COVID-19, serta kapasiti ruang premis yang dibenarkan.

Sementara itu, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) akan memastikan SOP di pawagam dilaksanakan selaras dengan SOP yang diguna pakai pengusaha pawagam di luar negara, dalam menjamin keselamatan sekali gus menambah keyakinan penonton untuk kembali menonton filem di premis terbabit.

MAFE dalam satu kenyataan menyatakan kebenaran masuk hanya diberikan untuk penonton yang telah divaksin sepenuhnya sahaja iaitu 14 hari selepas dos kedua, berserta  bukti sijil digital vaksinasi COVID-19.

Kenyataan itu menyatakan pengusaha pawagam juga akan memastikan hanya kakitangan yang telah divaksin sepenuhnya dibenarkan bertugas, selain mempertingkatkan pemakaian PPE petugas dengan pemakaian dua lapis pelitup muka dan pelindung muka.

Kenyataan MAFE itu juga menyatakan pembelian tiket wayang, serta makanan dan minuman juga akan dilaksanakan tanpa kontak.

“Dengan SOP yang dipertingkatkan ini, semua pawagam di Malaysia telah bersiap siaga dan bersedia untuk mengalu-alukan kedatangan semula para penonton, yang mendambakan pengalaman menonton dalam suasana yang terlindung dan selamat,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun tinjauan Bernama di beberapa pusat membeli-belah di sekitar ibu negara hari ini mendapati, premis pawagam masih belum beroperasi.

Menurut jurucakap operator pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dan TGV Cinemas, masing-masing masih menunggu SOP rasmi daripada MKN, sebelum memuktamadkan pelan dan garis masa untuk pembukaan semula.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Tourism Selangor: Guna industri kreatif promosi destinasi pelancongan

SHAH ALAM, 4 NOV: Tourism Selangor bercadang menjalin kerjasama dengan pemain industri kreatif bagi mempromosikan destinasi pelancongan sebagai lokasi penggambaran.

Pengurus Besar Azrul Shah Mohamad berkata produk pelancongan negeri ini sering menjadi pilihan penerbit filem dan program televisyen kerana keunikan dipaparkan di kawasan tersebut.

“Beberapa produk pelancongan Selangor menjadi lokasi utama penggambaran seperti Batu Caves, Kuala Kubu Bharu, Sekinchan, Litar Antarabangsa Sepang, Masjid Biru Shah Alam dan banyak lagi.

“Kita percaya sektor perfileman dan penggambaran program televisyen salah satu kaedah terbaik dalam mempromosi lokasi pelancongan di Selangor,” katanya ketika dihubungi.

Azrul Shah berkata pihaknya juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) bagi menyediakan kemudahan penggambaran di kawasan terpilih.

Menurutnya, kerjasama melibatkan aspek bantuan logistik serta teknikal seperti pengisian aktiviti pelancongan setempat yang mampu memberi nilai tambah.

“Selain itu, kita akan mengadakan sesi perniagaan kepada perniagaan (B2B) dan pertemuan melalui webinar bersama penggiat industri perfileman tempatan serta antarabangsa melalui kerjasama agensi pelancongan juga Tourism Malaysia mengikut pasaran di luar negara,” katanya.

Pada pembentangan Belanjawan 2021, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan berjumlah RM5.85 juta tahun depan bagi pembangunan dan merancakkan kembali pelancongan di Selangor yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata potensi besar boleh dimanfaatkan daripada pelancongan kreatif dengan mengenal pasti lokasi yang menjanjikan peluang perfileman antarabangsa kepada penggiat seni.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Industri kreatif beri sumbangan penting sektor pertumbuhan tinggi

KUALA LUMPUR, 7 OKT: Dengan pendekatan yang sesuai, industri kreatif Malaysia boleh memberi sumbangan yang penting kepada sektor dan industri pertumbuhan tinggi seperti pendidikan, sains dan inovasi, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata penggiat industri kreatif, seni dan budaya tidak perlu lagi melihat diri mereka secara berasingan berikutan ini adalah masanya apabila disiplin dan nilai perniagaan disepadukan kepada kaedah digital dan teknologi yang lain.

“Pertimbangkan ini untuk seketika…bagaimana keadaan syarikat gergasi teknologi global yang berpengaruh seperti Google, Apple dan Amazon jika mereka tidak mempunyai kandungan ekonomi kreatif ini dalam platform mereka?

“Ekonomi kreatif telah menjadi daya saing dan pertumbuhan kepada banyak syarikat dengan pertumbuhan tinggi di seluruh dunia,” katanya dalam ucapan pada Forum Ekonomi Kreatif 2021, bersempena Belanjawan 2021 semalam

Tengku Zafrul berkata pandemik Covid-19 memberi impak yang buruk kepada industri kreatif, menyebabkan kekangan aliran tunai berikutan kerugian atau projek yang ditangguhkan, dan industri memerlukan sokongan yang cepat untuk menghidupkan semula aktiviti kreatif.

Industri kreatif Malaysia menyumbang 1.9 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2015, dan mempunyai potensi yang besar untuk berkembang dan menyumbang kepada ekonomi Malaysia dalam jangka masa panjang, katanya.

“Cabaran untuk semua pihak yang berkaitan, termasuk kerajaan, ialah bagaimana kita dapat memanfaatkan asas ini, dan langkah-langkah yang perlu kita laksanakan supaya ekonomi kreatif boleh menjadi penyumbang yang besar kepada negara,” katanya.

Sebagai permulaan, Tengku Zafrul berkata terdapat keperluan untuk membuang salah tanggapan bahawa pelbagai sektor ekonomi wujud secara berasingan, dan untuk menunjukkan bahawa ekonomi kreatif mempunyai hubungan dengan ekonomi Malaysia yang lebih luas.

“Contoh yang jelas daripada hubungan itu dapat dilihat di Korea Selatan apabila kejayaan industri filem dan muziknya membantu meningkatkan jualan global produk kecantikan dan elektroniknya, serta mempromosikan industri pelancongan mereka kepada dunia,” katanya.

Bagi memastikan kelangsungan segera industri ketika pandemik Covid-19, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM225 juta bagi industri seni, budaya dan acara di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), katanya.

Ini termasuk RM100 juta dalam bentuk pinjaman mudah dan RM30 juta geran untuk industri kreatif, acara dan pameran di bawah MyCreative Ventures serta RM10 juta di bawah CENDANA (Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya).

Tengku Zafrul berkata negara-negara seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan misalnya menyaksikan peralihan dan terbukti berjaya membangunkan serta mempromosi ekonomi kreatif masing-masing.

“Ekonomi kreatif itu turut menjadi peluang bagi kita mempromosikan seni, budaya dan warisan Malaysia di persada dunia.

“Kali ini, kita menambah kisah kejayaan sendiri dengan mewujudkan ekonomi kreatif yang mampan, berdaya tahan dan berkembang pesat dan dapat mempromosi Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan untuk meningkatkan usaha bagi memperkasa bakat atau tenaga kerja di segenap lapisan ekonomi kreatif tersebut.

Forum Ekonomi Kreatif 2021 selama sehari itu dianjurkan oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd.

Ia merupakan yang siri pertama daripada dua bahagian yang dirancang sebagai platform bagi kemajuan masa depan dengan menggalakkan perkongsian serta pengumpulan idea dan menghimpunkan semua pihak berkepentingan, kementerian berkaitan, sektor swasta serta aktivis dan pengamal kreatif, seni dan budaya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

Terokai ekonomi jingga, cipta peluang kerja

Ternyata cabaran norma baharu seharusnya ditangani dengan kreatif dan berstrategi. Cara kita belajar, bekerja dan menghabiskan masa lapang telah berubah dengan mendadak akibat Covid-19. Begitu juga dengan cara kita berhibur atau menikmati produk seperti muzik dan filem yang merupakan hasil daripada ekonomi kreatif.

Pelaburan kepada industri ini yang turut disebut sebagai ekonomi jingga wajar kita beri perhatian bagi mencipta pekerjaan dan kekayaan serta membangun ekonomi dengan jayanya.

Pengkaji tersohor ekonomi kreatif John Hawkins mengatakan ekonomi jingga ditakrif sebagai sektor yang perkhidmatan dan barangan adalah hasil hak cipta intelektual: seni bina, seni lukis dan seni persembahan, kraftangan, filem, seni reka, penerbitan, penyelidikan dan pembangunan, permainan dan alat mainan, fesyen, muzik, pengiklanan, perisian, radio dan TV juga permainan video.

Salah satu aspek ekonomi jingga yang semakin berkembang pesat ialah permainan video. Penting untuk kita merenung kenyataan bahawa industri permainan video global pada 2019 berjumlah 152 bilion dolar Amerika–melebihi Hollywood dan industri muzik dunia.

Jumlah ini meliputi kesemua jenis permainan video, daripada komputer peribadi dan konsol permainan serta memberi pekerjaan kepada seluruh rantaian berkaitan daripada para animator tiga dimensi, pengaturcara, serta turut merangkumi jualan kutipan muat turun (downloadable content atau disebut DLC).

DLC merupakan cara para pembuat permainan mencipta pengalaman permainan yang lebih mengasyikkan sekaligus memperpanjang jangka hayat satu-satu permainan. Ia juga antara ‘barang’ yang diperdagangkan secara elektronik; satu bentuk transaksi mikro (microtransaction) yang menjadi nadi kepada permainan dalam talian.

e-sukan, animasi lubuk pendapatan

Menarik juga untuk difikirkan betapa hadiah e-sukan tertinggi pernah dicatatkan kini mencapai jumlah 34 juta dolar Amerika. Walaupun Selangor sudah merintis langkah seawal 2014 dengan penganjuran Selangor Cyber Games, tetapi banyak lagi dasar-dasar yang lebih konkrit perlu dirangka bagi menceburi dengan serius bidang-bidang sebegini.

Perkara yang sama dapat dilihat dalam penghasilan filem animasi. Sejak tercetusnya Koridor Raya Multimedia (MSC), kita dapat lihat hasil yang dituai oleh industri berkaitan pada hari ini. Bermula dengan Usop Sontorian seawal 1996, membawa kepada Kampung Boy dan kemuncaknya Upin dan Ipin, industri animasi Malaysia boleh dikira cukup matang saat ini dan sudah mampu bersaing dengan gergasi antarabangsa. Dengan judul-judul baharu yang tidak pernah henti-henti diterbitkan seperti BoBoi Boy dan Ejen Ali, sekadar menyebut beberapa nama, kepakaran kita dalam industri ini tidak asing lagi.

Apakah relevannya statistik tadi dengan keadaan ekonomi kita sekarang? Bagaimana kemapanan industri seperti filem dapat dipertahankan, apabila panggung wayang masih lagi ditutup? Bagaimana kita mahu memperkembangkan pendidikan untuk menyokong industri sebegini?

Dengan wabak Covid-19 yang melatari setiap perancangan kita saat ini serta anjakan Industri 4.0 yang tidak dapat dielakkan, semakin wajar untuk kita meramaikan lagi tenaga kerja dalam industri kreatif sebegini.

Selain dari kepakaran teknikal seperti mengaturcara dan melakukan animasi yang boleh diberi pensijilan TVET oleh institusi pendidikan sedia ada, perkara yang sewajarnya diberi penekanan adalah pengisian atau ‘content’–satu olahan kreatif daripada minda yang kaya daya imaginasinya.

Imaginasi lebih utama daripada pengetahuan?

Ya, imaginasi merupakan suatu kata yang muluk tetapi sangat sukar diterjemah menjadi suatu bentuk pelaksanaan. Albert Einstein pernah mengungkap bahawa imaginasi lebih utama daripada pengetahuan. Dengan imaginasi, pemahaman sesuatu situasi atau pemerhatian terhadap fenomena yang berlaku dalam masyarakat boleh dipersembahkan kepada khalayak sama ada dalam bentuk tulisan, lukisan, arca, filem animasi atau dijadikan permainan video. Pendek kata, apa yang kini disebut ‘content’ atau pengisian.

Ungkapan “content is king” pernah diutarakan oleh Bill Gates, mantan CEO Microsoft seawal 1996 lagi. Ungkapan itu kini menjadi mantra yang didakap kuat oleh para pereka permainan, selebriti media sosial (social media influencer) serta seniman secara amnya. Di sinilah keutamaan imaginasi. Dan di sinilah pentingnya pengisian.

Pengisianlah yang membezakan pengalaman pengguna (user experience atau disebut UX) antara satu-satu wadah dengan yang lain. Zaman pengisian janaan pengguna atau UGC (User Generated Content) yang lebih demokratik memberikan ruang dan peluang kepada sesiapa sahaja untuk membuat duit malahan mereka boleh memperdagang diri menjadi suatu jenama!

Dalam analisis terakhir, pengisian yang menjadi penyebab mengapa seseorang sanggup bersengkang mata untuk melihat/ menonton (atau bersusah payah berlatih menari) berjam-jam deretan foto dan video di Instagram, serta menghabiskan beratus-ratus ringgit dalam urus niga mikro (microtransaction) seperti ‘menghadiahkan’ sekalung bunga maya ataupun e-kereta yang bernilai RM50 atau lebih di Bigo Live.

Melihat potensi kewangan yang besar daripada perkhidmatan sebegini, tidak hairanlah mengapa Kevin Mayer, yang mengetuai platform streaming Disney Plus sanggup menjadi CEO kepada wadah TikTok!

Mengambil kira potensi yang disebut tadi, ternyata pencarian kepada sesuatu teras perbincangan atau topik menjadi maha penting untuk diolah. Dan sebetulnya, sejarah dan budaya kita sangat kaya dengan pelbagai khazanah yang menunggu untuk digali dan bakal menjadi mata air kepada pengisian yang baik.

Lihat sahaja bagaimana tetangga kita Indonesia mempertaruhkan Gundala, sebuah komik adiwira daripada tahun 1969 yang telah diadaptasi untuk cita rasa penonton milenial. Begitu juga dengan beberapa filem epik berlatarkan sejarah seperti Bumi Manusia serta Tenggelamnya Kapal Van Der Wick dan filem autobiografi seperti Sultan Agung, Guru Bangsa Tjokroaminoto dan Soekarno sekadar beberapa contoh.

Barangkali kita juga tidak lekeh dengan cerita daripada khazanah karya kita sendiri yang boleh diceduk daripada Hikayat Malim Kundang ataupun filem autobiografi Tunku Abdul Rahman misalnya, sepertimana terhasilnya filem Puteri Gunung Ledang dan Tanda Putera.

Selain daripada filem mahupun animasi, ada potensi besar untuk kita turut menggunakan teras perbincangan yang sama dalam penghasilan permainan video. Watak mitos Mahabrata, Gatotkaca malahan menjadi salah satu watak yang boleh dimainkan dalam permainan Mobile Legends.

Tidakkah kita mahu Hang Tuah diberikan kesempatan yang serupa? Dengan pelbagai jurus silat yang ada di tanah air kita, mungkin tidak begitu terlambat untuk kita hasilkan permainan lawan mirip Street Fighter yang bernuansakan kebudayaan nusantara. Paling tidak, kita mungkin boleh menampilkan cerita-cerita yang berhubung kait dengan watak universal seperti Iskandar Zulkarnain dan Cheng Ho, misalnya.

Ekonomi kreatif penggerak budaya

Untuk permulaan, institusi pemikir dan pusat pendidikan di Selangor boleh turut sama membincangkan dengan lebih serius persoalan seni dan budaya. Perbincangan dasar ekonomi kreatif dapat memanfaatkan penggerak seni di Malaysia dan diharapkan mampu untuk digalas oleh institusi-institusi budaya.

Dan ini juga berpotensi membantu sektor pelancongan, sepertimana New Zealand mendapat limpahan manfaat daripada adaptasi filem Lord of The Rings karya J.R.R.Tolkien.

Selain daripada dapat menempa nama di persada dunia seperti Zee Avi, Yuna dan arwah Yasmin Ahmad, ekonomi kreatif ini juga sangat menguntungkan. Tanpa perlu menembusi persaingan global pun, kek ekonomi sedia ada sudah cukup besar untuk setiap pemain industri yang ada.

Lihat sahaja penerimaan Sheila Amzah di China. Dengan potensi pasaran sebanyak 600 juta orang, menceburi pasaran Asean sahaja sebenarnya sudah cukup memberangsangkan. Dan yang paling penting, kita tidak akan tertinggal dalam peperangan budaya yang akan menjadi penentu pada masa hadapan.

_________________________________

Kenyataan Dato’ Seri Amirudin Shari

Categories
AGENDA NASIONAL

Industri kreatif mampu jadi eksport negara

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kandungan industri kreatif seperti filem, drama dan animasi mampu menjadi eksport yang boleh menguntungkan negara jika produk yang dihasilkan berkualiti.

Perdana Menteri menarik perhatian bahawa industri kreatif merupakan sektor yang sedang berkembang maju di Malaysia dengan kewujudan 345 syarikat berstatus MSC Malaysia setakat 31 Mac lalu di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi daripada jumlah keseluruhan 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia yang aktif.

“Pada 2018, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster ini mencatat nilai jualan RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 bilion selain menyediakan 11,471 peluang pekerjaan,” katanya ketika berucap pada Istiadat Konvokesyen Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ke-15, di sini, hari ini.

Dr Mahathir percaya Aswara yang mempunyai pelbagai fakulti boleh menyediakan kandungan serta produk industri kreatif yang lebih berkualiti untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia tidak boleh kehilangan identiti yang dibentuk menerusi kepelbagaian kebudayaan dan keseniannya.

“Kemajuan fizikal dan material perlu kita imbangi dengan kemajuan kesenian dan kebudayaan kerana dengan cara ini sahaja kita dapat memperkukuh tamadun bangsa,” katanya.

Beliau seterusnya menarik perhatian bahawa kebudayaan Malaysia, seperti mana kebudayaan negara lain, sentiasa mengalami perubahan akibat pengaruh luar, pengaruh perkembangan komunikasi, teknologi dan sebagainya.

“Dalam soal ini, pendidikan seni dan budaya amat penting kerana kita tidak mahu berlaku kemerosotan dan kemiskinan budaya,” kata Dr Mahathir sambil menambah kemerosotan ini akan menghakis sistem nilai yang amat perlu untuk kelangsungan bangsa dan negara.

“Jika seni dan budaya tidak diperjuangkan, masyarakat tidak lagi memahami fungsi dan kegunaan budaya teras yang menjadi identiti, sebaliknya mereka lebih mengenali budaya asing. Dengan itu, nilai-nilai murni yang kita warisi akan turut hilang,” kata perdana menteri.

Selain itu, Dr Mahathir berkata, budaya Malaysia yang kaya ini tidak cukup untuk dikembangkan dalam negara sahaja kerana ia perlu juga dibawa ke peringkat antarabangsa di samping mempelajari budaya masyarakat lain.

Menurutnya lagi, sudah sampai masanya kerajaan dan rakyat Malaysia memberi perhatian kepada seni dan budaya negara yang menjadi tunjang kepada identiti bangsa.

Terdahulu, Dr Mahathir dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dianugerah Ijazah Kehormat Kedoktoran Seni Kreatif sempena istiadat konvokesyen Aswara itu. Ia julung kali diperkenalkan oleh institusi berkenaan.

“Penganugerahan ini sudah pasti amat bermakna buat kami. Tetapi yang lebih penting ialah anugerah ini meletakkan seni dan budaya sebagai satu subjek yang perlu mendapat perhatian.

“Budaya terutamanya boleh menentukan jaya atau tidaknya sesuatu bangsa, bahkan seseorang individu,” kata Dr Mahathir sambil berkongsi perasaan terharu beliau dan isteri kerana menjadi penerima pertama anugerah itu.

— BERNAMA