Categories
AGENSI SELANGOR

Kutipan zakat dijangka susut tahun depan, asnaf terkesan – LZS

HULU LANGAT, 6 DIS: Jumlah kutipan zakat pada tahun depan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dijangka menyusut, berikutan banyak perniagaan mengalami kerugian dan ada antara individu dihentikan kerja kesan daripada pandemik Covid-19.

Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf LZS Abdul Basith Hamid berkata situasi itu secara tidak langsung memberi kesan kepada jumlah peruntukan untuk disalurkan kepada golongan asnaf.

“Kutipan tahun ini mencapai sasaran, tapi lebih merisaukan pada tahun depan kerana pengeluar zakat utama adalah individu yang membuat potongan gaji bulanan dan zakat perniagaan, jika kedua-duanya terkesan, ia akan memberi impak pada kutipan zakat 2021.

“Daripada segi agihan pula, mereka yang membayar zakat juga ada potensi menjadi penerima zakat. Namun mungkin ada kaedah lain yang dapat memastikan agihan zakat dapat diteruskan, katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Beliau ditemui ketika menziarahi sebuah keluarga enam adik-beradik yang menjadi yatim piatu, selepas ibu mereka Rosni Abd Razak, 44, meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja pada 28 November lepas.

Dalam pada itu Abdul Basith berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Selangor susulan gelombang ketiga pandemik Covid-19, lebih 5,000 permohonan baharu zakat diterima pihaknya.

“Sebelum ini pemohon mempunyai kerjaya dan mereka adalah pengeluar zakat, namun akibat Covid-19 ada antara mereka hilang pekerjaan, sumber perniagaan terjejas, dan gaji dipotong,” katanya.

Sementara itu dalam kunjungan itu LZS menghulurkan sumbangan berbentuk khairat kematian, bantuan keperluan sekolah dan harian, bagi meringan beban enam adik-beradik yang berusia dalam lingkungan antara 13 hingga 25 tahun itu.

Anak kedua, Mohd Amirul Azri Faizul, 22 yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berkata dia ada menyimpan niat membawa Allahyarham ibunya untuk menunaikan umrah pada masa depan, namun hajatnya tidak kesampaian.

“Kami adik beradik amat terasa kehilangan mak, dia pergi terlalu cepat. Sekarang tumpuan saya ialah menjaga adik-adik lain yang masih bersekolah,” katanya yang sekarang tinggal di rumah neneknya.

-BERNAMA