Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

PBT digesa bantu peniaga guna e-dompet mulai tahun depan

SHAH ALAM, 14 DIS: EXCO pembangunan usahawan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor melaksanakan program membantu peniaga menggunakan sistem e-dompet bermula tahun depan.

Rodziah Ismail berkata sehingga kini hanya 40 peratus peniaga pasar pagi, pasar malam dan medan selera menggunakan sistem tanpa tunai berkenaan.

“Oleh itu, bermula tahun depan saya harap semua PBT membantu peniaga untuk menggunakan sistem e-dompet ini ketika menjalankan perniagaan, sekali gus memudahkan pelanggan.

“Peniaga usah risau, anda boleh tampil dan kami akan bantu untuk membuat pendaftaran e-dompet berkenaan. Pelaksanaan ini selari dengan dasar Kerajaan Negeri yang mahu menjadikan masyarakat tanpa tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan apron kepada peniaga di Medan Selera @15B bersama Datuk Bandar Shah Alam Dato’ Haris Kasim hari ini.

Pada Ogos tahun lalu, Kerajaan Negeri melancarkan aplikasi mudah alih transaksi tanpa tunai ‘Citizen E-Payment Platform’ atau CEPat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata langkah itu bagi menyemarakkan lagi ekosistem ekonomi digital untuk meningkatkan jumlah transaksi tanpa tunai dan memacu pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

Ia juga selari dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam menyediakan Agenda Ekonomi Tanpa Tunai Smart Selangor.