Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan perkenan pindaan Enakmen LUAS, pesalah berdepan hukuman berat

SHAH ALAM, 8 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah pencemar sumber air.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan itu ia akan dikuatkuasakan serta-merta dan dikenakan kepada pencemar.

“Tahniah kepada para petugas LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi Kerajaan Negeri kerana telah berjaya dengan pantas mengenal pasti sumber pencemaran dan menyelesaikan isu tersebut tanpa mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Pada 9 November, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Air Urus Selangor yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta.

Malam tadi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam manakala LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 pada jam 1 pagi selepas pencemaran dikesan.

Bagaimanapun Air Selangor menerusi kenyataan memaklumkan keempat-empat LRA itu kembali beroperasi antara jam 3.30 hingga 5 pagi selepas bacaan 0 TON direkodkan tiga kali berturut-turut.