Categories
AGENDA NASIONAL

Putrajaya cadang naik denda, penjara kesalahan cemar air

SHAH ALAM, 14 DIS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) bercadang meminda Akta Kualiti Alam Sekeliling (Akta 127) dan Akta Industri Perkhidmatan Air (Akta 655) bagi menangani pencemaran air.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata langkah itu bagi meningkatkan hukuman sedia ada menjadi lebih tinggi, lapor Berita Harian .

“Perkara ini termasuk meningkatkan jumlah penalti dan denda, tempoh penjara dan mengenakan penjara mandatori untuk beberapa kesalahan berkaitan, terutama membabitkan pencemaran air bagi memberikan impak lebih tinggi kepada penjenayah alam sekitar,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan juga menubuhkan Green Court iaitu Mahkamah Sesyen Khusus pada 2012 untuk menimbang kes berkaitan alam sekitar.

“Ia adalah kemudahan yang sudah disediakan pihak mahkamah dengan memberi keutamaan kepada kes alam sekitar supaya dapat diselesaikan segera,” katanya.

Dewan Negeri Selangor pada 9 November meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Air Urus Selangor (LUAS) yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta kepada pesalah pencemar sumber air.

Pada 8 Disember lalu, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan pindaan enakmen tersebut dan ia akan dikuatkuasakan serta-merta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sultan perkenan pindaan Enakmen LUAS, pesalah berdepan hukuman berat

SHAH ALAM, 8 DIS: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj perkenan pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah pencemar sumber air.

Dato’ Menteri Besar berkata susulan itu ia akan dikuatkuasakan serta-merta dan dikenakan kepada pencemar.

“Tahniah kepada para petugas LUAS, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd dan agensi Kerajaan Negeri kerana telah berjaya dengan pantas mengenal pasti sumber pencemaran dan menyelesaikan isu tersebut tanpa mengakibatkan gangguan bekalan air kepada pengguna,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook hari ini.

Pada 9 November, Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan Enakmen Lembaga Air Urus Selangor yang mengenakan hukuman lebih berat termasuk penjara mandatori dan denda maksimum RM1 juta.

Malam tadi Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam manakala LRA Sungai Selangor Fasa (SSP) 1, 2 dan 3 pada jam 1 pagi selepas pencemaran dikesan.

Bagaimanapun Air Selangor menerusi kenyataan memaklumkan keempat-empat LRA itu kembali beroperasi antara jam 3.30 hingga 5 pagi selepas bacaan 0 TON direkodkan tiga kali berturut-turut.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Sabotaj air: Dua lelaki kes pertama dituduh bawah SOSMA

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Dua lelaki termasuk seorang pengarah sebuah syarikat menjadi individu pertama dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air di negeri Selangor melibatkan kesalahan terhadap keselamatan negara mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

R Nathan, 42, seorang kontraktor dan Lim Kian Aik, 42, pengarah syarikat, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Maziah Joary Mohd Tajudin.

Mereka didakwa bagi mencapai niat bersama melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, Gombak antara 2 dan 10 Nov lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan boleh dihukum di bawah peruntukan Seksyen 124K kanun serupa yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

R Nathan didakwa melakukan sabotaj dengan niat untuk mendatangkan mudarat kepada perkhidmatan air di negeri Selangor di premis No 32, Jalan Velox 2, Taman Velox, Rawang, Gombak antara 2 dan 10 Nov 2020. Foto BERNAMA

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Iskandar Ahmad tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh kerana Seksyen 124K Kanun Keseksaan disenaraikan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan yang menggunakan tatacara SOSMA seperti mana diperuntukkan di bawah jadual pertama Akta 747 (SOSMA).

Beliau berkata kes ini membabitkan kesalahan terhadap keselamatan negara dan perlu mengguna pakai tatacara SOSMA, iaitu kes akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

“Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan untuk mendapatkan izin bagi kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Peguam Erni Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili Nathan berkata tindakan pendakwaan yang tidak menawarkan jaminan terhadap anak guamnya adalah ultra vires (melampaui kuasa) Perkara 5 dan 21 Perlembagaan Persekutuan.

“Anak guam saya bekerja sebagai kontraktor jalan dengan pendapatan sebulan RM2,500 malah anak guam saya penanggung tunggal keluarga serta menghidap penyakit kencing manis,” katanya.

Peguam Harcharanjit Singh yang mewakili Lim memohon jaminan dibenarkan dengan alasan anak guamnya sudah berkahwin dan mempunyai empat anak berusia 11 hingga 17 tahun.

“Dalam kes ini, anak guam saya memberikan kerjasama baik dengan pihak berkuasa. Anak guam saya merupakan seorang pengarah syarikat yang masih beroperasi. Dia juga penanggung tunggal keluarga,” katanya.

Terdahulu, dua lelaki itu tiba di mahkamah pada 9.45 pagi diiringi pasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.

Mereka juga menghadapi lima pertuduhan lain. Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan berbahaya ke dalam tempat rawatan kumbahan awam milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd di Jalan Velox Utama, Taman Velox, Rawang, Selangor di mana tindakan tersebut mengurangkan fungsi tempat rawatan kumbahan tersebut di tempat dan tarikh sama.

Pertuduhan ketiga pula, mereka didakwa dengan niat bersama menjalankan aktiviti kemudahan penstoran (luar tapak) yang merupakan aktiviti yang disenaraikan di perenggan 14(a)(iii) dalam Jadual Pertama, Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Aktiviti Yang Ditetapkan) (Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling) 2015 tanpa kelulusan laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling daripada ketua pengarah Kualiti Alam Sekeliling di tempat pada 10.45 malam, 10 Nov lepas.

Bagi pertuduhan keempat, mereka dituduh dengan niat bersama menggunakan premis tersebut sebagai premis yang ditetapkan untuk menempatkan buangan terjadual seperti dalam Jadual Pertama, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 iaitu pelarut organik bukan terhalogen yang dikategorikan sebagai SW322 tanpa mendapat kelulusan daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling di tempat, masa dan tarikh sama.

Mengikut pertuduhan kelima dan keenam, Nathan dan Lim didakwa dengan niat bersama menggunakan premis tersebut untuk penempatan bahan buangan dan menempatkan 40 IBC terjadual seperti yang diperuntukkan dalam Jadual Pertama Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 iaitu pelarut organik bukan terhalogen yang dikategorikan sebagai SW322 tanpa lesen daripada ketua pengarah Kualiti Alam Sekeliling di premis sama pada 10.45 malam, 10 Nov lepas.

Kelima-lima pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 yang memperuntukkan hukuman penjara setahun hingga lima tahun atau denda hingga RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Muhammad Iskandar tidak menawarkan jaminan bagi pertuduhan kedua hingga keenam kerana tertakluk kepada pertuduhan pertama mengikut Seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin berjumlah RM50,000 bagi pertuduhan kelima dan keenam dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan, pasport diserahkan kepada mahkamah, dilarang mengganggu saksi pendakwaan selain melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan 8 Jan 2021 ditetapkan untuk sebutan kes.

Bagaimanapun bagi pertuduhan lain, mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin. Oleh itu mereka kekal ditahan reman.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan, Nathan mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menjalankan aktiviti perniagaan di premis sama tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Melesen di tempat sama pada 10.45 malam, 10 Nov lepas.

Pertuduhan mengikut Undang-undang Kecil 3 Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Perbandaran Selayang) 2007 dan boleh dihukum di bawah Undang-Undang Kecil 47 undang-undang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana tertuduh hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan manakala peguam Erni yang mewakili Nathan memohon jaminan dibenarkan kerana dia penanggung tunggal keluarga.

Nik Mohd Fadli membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,500 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap bulan dan menetapkan tarikh sama (8 Jan 2021) untuk sebutan semula kes.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

MB: Pindaan enakmen LUAS amaran keras kepada pencemar air

SHAH ALAM, 9 NOV: Pindaan Rang Undang-Undang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 2020 merupakan manifestasi amaran keras kepada mana-mana pihak yang berniat melakukan pencemaran air di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pindaan yang memperuntukkan hukuman lebih berat terhadap pencemar air diyakini dapat menangani isu pencemaran sungai.

“Kerajaan Negeri yakin pindaan enakmen berkenaan berserta langkah-langkah tambahan dijelaskan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 akan dapat menangani masalah pencemaran sungai yang menyebabkan gangguan bekalan air di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Hari ini, sidang Dewan Negeri Selangor meluluskan pindaan yang dibentangkan Amirudin pada Jumaat lalu selepas mendapat sokongan wakil rakyat Pakatan Harapan (PAKATAN) dan Perikatan Nasional (PN).

Pindaan itu menaikkan denda daripada RM100,000 kepada minimum RM200,000 dan maksimum RM1 juta manakala penjara dijadikan hukuman mandotari.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cadangan denda RM10 juta bagi pesalah cemar bekalan air

PORT DICKSON, 13 OKT: Kerajaan bercadang untuk menaikkan denda maksimum kepada RM10 juta daripada RM500,000 pada masa ini, bagi kes pencemaran air menerusi pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang dijangka dibentangkan di Parlimen tahun ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pindaan akta itu dijangka akan dibentangkan dalam sidang Parlimen pada November depan.

“Selain itu, pindaan itu juga akan meningkatkan hukuman penjara dan semua ini akan kami bentangkan dalam sidang Parlimen akan datang berkemungkinan pada sesi pembentangan Belanjawan 2021 nanti,” katanya ketika ditemui selepas meninjau lokasi pencemaran tumpahan minyak di Pantai Cermin, di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Norlin Jaafar, Pengarah JAS Negeri Sembilan Azuri Azizah Saedon dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malek.

Menjawab pertanyaan sama ada akta sedia ada tidak mencukupi dalam membendung insiden pencemaran di negara ini, Tuan Ibrahim berkata akta sedia ada mencukupi bagi menangani isu berkenaaan namun yang paling utama adalah sikap sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Sebab itu kami menganggap mereka ini penjenayah kepada alam sekitar dan kita tak boleh berkompromi dengan sikap melampau seperti ini,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai insiden berkenaan yang melibatkan pencemaran sepanjang dua kilometer di pesisir Pantai Cermin, beliau berkata ia merupakan kes kali kedua direkodkan selepas yang pertama pada 2009.

“Bagi kes ini, Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah Port Dickson dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah, Melaka diaktifkan untuk kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa minyak akibat pencemaran oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, sampel di lokasi telah diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia bagi dianalisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan. JAS dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia juga melakukan rondaan laut dan pemantauan dron bagi mengesan punca tumpahan minyak ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 27 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

– BERNAMA