Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan petugas khas ditubuh atasi kontena sesak di Pelabuhan Klang

MELAKA, 5 JAN: Kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang diketuai Lembaga Pelabuhan Klang bagi menangani isu kesesakan kontena di Pelabuhan Klang yang berlaku sejak suku ketiga tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata berdasarkan jalanan ujian yang dijalankan sejak seminggu lepas, pengurusan kontena di pelabuhan itu meningkat dari 100 kontena sehari kepada 200 kontena.

Menurutnya, jumlah kontena yang diterima negara ketika ini tidak jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, namun kelewatan pemprosesan kontena tersebut mungkin disebabkan pembudayaan norma baharu susulan penularan Covid-19.

“Mungkin ada sedikit penyesuaian yang perlu dibuat antara semua pihak, terutamanya membabitkan koordinasi dan saya rasa dengan adanya penglibatan semua pihak perkara (kelewatan) ini dapat kita kurangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan di Ayer Molek hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu melibatkan semua pihak yang berkaitan termasuk kastam.

Projek Litar Latihan dan Ujian Memandu di Akademi JPJ yang bernilai RM2.3 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 2.02 hektar bermula bulan ini dan dijangka siap pada Oktober depan.

-BERNAMA