Categories
AGENDA NASIONAL

Pasukan petugas khas ditubuh atasi kontena sesak di Pelabuhan Klang

MELAKA, 5 JAN: Kerajaan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas yang diketuai Lembaga Pelabuhan Klang bagi menangani isu kesesakan kontena di Pelabuhan Klang yang berlaku sejak suku ketiga tahun lepas, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau berkata berdasarkan jalanan ujian yang dijalankan sejak seminggu lepas, pengurusan kontena di pelabuhan itu meningkat dari 100 kontena sehari kepada 200 kontena.

Menurutnya, jumlah kontena yang diterima negara ketika ini tidak jauh berbeza dengan tahun-tahun sebelum ini, namun kelewatan pemprosesan kontena tersebut mungkin disebabkan pembudayaan norma baharu susulan penularan Covid-19.

“Mungkin ada sedikit penyesuaian yang perlu dibuat antara semua pihak, terutamanya membabitkan koordinasi dan saya rasa dengan adanya penglibatan semua pihak perkara (kelewatan) ini dapat kita kurangkan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Litar Latihan dan Ujian Memandu Akademi Pengangkutan Jalan di Ayer Molek hari ini.

Beliau berkata pasukan petugas khas itu melibatkan semua pihak yang berkaitan termasuk kastam.

Projek Litar Latihan dan Ujian Memandu di Akademi JPJ yang bernilai RM2.3 juta itu akan dibina di atas tapak seluas 2.02 hektar bermula bulan ini dan dijangka siap pada Oktober depan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Bukit Aman tubuh pasukan petugas khas pantau integriti

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Satu pasukan petugas khas ditubuhkan untuk memastikan maklumat rekod peribadi, profil perkhidmatan dan data perjawatan setiap pegawai polis, dikemas kini dan berintegriti, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Tanpa mendedahkan butiran lanjut pasukan petugas khas itu beliau berkata, pasukan petugas khas berkenaan adalah bagi melicinkan proses pengemaskinian Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS), selain mengelakkan pegawai atau anggota polis terlibat salah laku dan salah guna kuasa.

“Saya berharap pasukan petugas khas itu akan mengangkat HRMIS sebagai satu platform pengurusan sumber manusia Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbaik,” katanya kepada pemberita sempena perhimpunan bulanan semua jabatan peringkat Bukit Aman, di sini.

Abdul Hamid berkata, setiap warga PDRM perlu bertanggungjawab mengemas kini data peribadi masing-masing dalam sistem HRMIS.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pengemaskinian dan kesahihan maklumat HRMIS masih menjadi isu dalam pengurusan sumber manusia PDRM, sehingga boleh menjejaskan pengurusan kerjaya dan pembayaran emolumen pegawai,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Bukit Aman akan memantau dan mengambil tindakan bagi memastikan setiap pegawai atau anggota polis mematuhi arahan yang ditetapkan.

“Arahan pentadbiran yang melarang salah guna aset sumber kerajaan dan jabatan untuk kepentingan peribadi telah dikeluarkan, jika kita ada terima aduan kita siasat dan ambil tindakan sewajarnya.

“Selain itu, saya juga telah beri peringatan kepada semua pesuruhjaya polis dan ketua polis negeri, untuk memastikan setiap anggota dan kakitangan awam di tempat kerja masing-masing tidak salah guna aset kerajaan,” katanya mengulas tindakan beberapa pegawai polis menggunakan anggota bawahan untuk urusan peribadi dan salah guna aset kerajaan.

Sebelum ini, Bernama melaporkan beberapa pegawai dan anggota polis yang didapati menggunakan aset kerajaan seperti kenderaan milik PDRM bagi kepentingan peribadi, telah diambil tindakan termasuk tidak layak dipertimbangkan kenaikan pangkat.

Ekoran itu, Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman Datuk Zamri Yahya memaklumkan, tindakan diambil mengikut Peraturan 36 Peraturan-Peraturan Pegawai Awam 1993 melibatkan prosiding tatatertib.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pasukan petugas khas tangani pencerobohan nelayan asing

PUTRAJAYA, 24 APR: Kabinet akan menubuhkan sebuah pasukan petugas khas diketuai oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menangani masalah pencerobohan nelayan asing di perairan negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Selain KDN, katanya, pasukan itu turut disertai Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar serta tujuh agensi penguatkuasaan.

Tujuh agensi berkenaan adalah ​​​​​​​Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Mereka akan mengatur operasi khas dalam tempoh yang segera dan diharapkan dengan tindakan ini maka pencerobohan nelayan asing tidak terus berlaku,” katanya pada sidang media di KDN, di sini, hari ini.

Turut serta pada sidang media itu ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Datuk Salahuddin Ayub dan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong.

Menurut Muhyiddin, masalah pencerobohan nelayan asing terutamanya dari Vietnam pada tahun ini semakin berleluasa dengan 41 bot telah ditahan oleh APMM, manakala Jabatan Perikanan menahan sebanyak 26 bot.

“Kes ini bukan baru tetapi akhir-akhir ini semakin meningkat mengikut musim kerana sekarang musim sotong. Mereka (nelayan asing) masuk dan tidak mengendahkan undang-undang perairan antarabangsa,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan penguatkuasaan sebelum ini kurang berkesan, Muhyiddin berkata, setiap agensi menjalankan tugas dan operasi mengikut bidang masing-masing.

“Kalau gerakan dibuat secara bersepadu, bila mereka (nelayan asing) dengar kita datang, diharapkan mereka tak berani masuk dan ceroboh peraiaran kita.

“Jika mereka ceroboh juga, dengan aset yang lebih dan tenaga manusia yang dimobilisasikan maka mungkin kita boleh tahan mereka secara lebih baik,” jelasnya.

Muhyiddin berkata, Malaysia melalui Kementerian Luar akan turut meminta pihak berkuasa Vietnam untuk menasihati nelayan mereka supaya tidak mencerobohi perairan negara.

Mengenai penglibatan SPRM, Muhyiddin berkata suruhanjaya itu dijemput supaya tidak berlaku penyelewengan dalam aktiviti penguatkuasaan yang dijalankan pasukan tersebut.

“Kita tidak pasti kalau ada elemen-elemen rasuah berlaku tetapi pastinya itu (penglibatan SPRM) cara kita hendak mengambil tindakan supaya penguatkuasaan dapat dijalankan dengan lebih berkesan,” katanya.

Dalam pada itu, Salahuddin berkata pencerobohan nelayan asing menyebabkan negara kehilangan hasil laut sehingga RM6 bilion setiap tahun.

Beliau turut menjelaskan bahawa kementeriannya tidak pernah memberi lesen atau permit kepada nelayan asing untuk menangkap hasil laut dalam kawasan perairan negara.

“Mungkin berlaku penyelewengan di mana mereka mempergunakan lesen tertentu, tetapi secara rasminya kementerian tidak pernah memberi lesen kepada bot-bot asing untuk beroperasi,” katanya.

SUMBER: BERNAMA