Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Wakil rakyat Taman Templer bantu pelajar miskin dapatkan komputer riba

SHAH ALAM, 30 JAN: Pusat Khidmat Masyarakat Taman Templer menyemak permohonan murid kurang berkemampuan untuk mendapatkan komputer riba bagi mengikuti pembelajaran di rumah.

Ahli Dewan Negerinya Mohd Sany Hamzan berkata proses semakan melibatkan ketua kampung dan persatuan penduduk bagi memastikan hanya yang layak mendapat kemudahan tersebut.

“Tidak dinafikan ramai ibu bapa atau penjaga terbeban untuk menyediakan kemudahan itu berikutan sistem pembelajaran norma baharu memerlukan peranti elektronik.

“Paling terkesan keluarga yang memiliki ramai anak bersekolah hingga ada yang merayu supaya mempertimbangkan permohonan mereka,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Sany berkata setakat ini sebanyak 10 unit komputer riba terpakai diagihkan kepada murid sekolah rendah dan menengah serta berharap ia dimanfaat sebaik mungkin.

“Walaupun produk terpakai tetapi ia masih berfungsi dengan baik kerana kos tinggi diperlukan untuk mendapatkan komputer riba baharu,” katanya lagi.