Categories
AGENSI SELANGOR

351 anak petugas hadapan terima manfaat pengasuhan

SHAH ALAM, 18 FEB: Seramai 351 anak petugas barisan hadapan daripada 272 isi rumah seluruh Selangor menerima manfaat pengasuhan setakat ini, kata ketua pegawai eksekutif Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

Norita Mohd Sidek berkata mereka terdiri daripada kanak-kanak berusia sehingga enam tahun yang ditempatkan di 12 Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan sementara.

Menurutnya, Inisiatif Cakna Anak Barisan Hadapan, sebahagian Pakej Kita Selangor dibantu Persatuan Cakna Anak Malaysia melalui pemantauan dan pengawasan 75 sukarelawan berpengalaman.

“Seramai 400 anak kakitangan kesihatan di hospital kerajaan serta petugas keselamatan seperti polis, tentera dan bomba disasar berdaftar untuk mendapatkan perkhidmatan percuma ini.

“Kebanyakan mereka menghadapi kesukaran mencari perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan, jadi anak-anak perlu dikumpulkan dalam satu kumpulan sama,” katanya selepas menyantuni anak-anak kecil barisan hadapan di Bangunan Darul Ehsan di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Datin Paduka Mastura Muhamad dan Presiden Persatuan Taska Selangor Mahanom Basri.

Dalam majlis itu, Norita menyerahkan kit sanitasi mengandungi cecair pembasmi kuman, penyukat suhu, pelitup muka dan mesin semburan untuk kegunaan sukarelawan serta kanak-kanak terbabit.

Pusat asuhan berkenaan yang kini memiliki 28 kanak-kanak turut menerima bahan bacaan sumbangan PPAS.

Kerajaan Negeri melaksanakan inisiatif tersebut untuk tempoh dua bulan bermula 25 Januari bagi meringankan beban petugas hadapan yang berusaha menangani penularan Covid-19.

Inisiatif menelan belanja RM1 juta melibatkan pembukaan dan pengoperasian taska serta pusat jagaan sementara di hospital awam termasuk di beberapa premis sementara.