Categories
AGENDA AGENSI BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan digesa telus salur maklumat Covid-19, contohi langkah UK

SHAH ALAM, 6 FEB: Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) menyeru kerajaan supaya bersikap jujur dalam memberi laporan kes Covid-19.

Pengerusinya berkata Kementerian Kesihatan Malaysia serta Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah harus memberikan maklumat telus berhubung status tunggakan kes serta situasi semasa ketika ini.

Beliau turut menyarankan kerajaan mencontohi United Kingdom yang melaporkan kes berdasarkan wilayah, daerah dan pihak berkuasa tempatan bagi menyampaikan maklumat tepat.

“Ia membabitkan ukuran pada setiap 100,000 populasi dan bukan melibatkan jumlah keseluruhan,” kata Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi Facebook hari ini.

Kenyataan itu sebagai maklum balas artikel bertajuk “Di sebalik aplikasi SELangkah, kes harian Covid-19 Selangor terus meningkat” dikeluarkan satu portal berita pada 3 Februari lalu.

Sementara itu, bekas menteri kesihatan berkata STFC kini dibantu Pasukan Petugas Operasi Pencegahan Covid-19 (STFO) dalam menjayakan aspek operasi seperti program saringan bersasar.

“STFO dibantu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Imaret dan kami menggunakan sumber dan kepakaran ahli mereka tanpa dikenakan bayaran.

“STFC akan terus berusaha membendung perebakan gelombang ketiga ini malah sedia kongsi kepakaran untuk negara serta negeri lain,” katanya.